Rabu, 26 Januari 2022 | 4:32pm
Petugas dan sukarelawan agensi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah kini meningkatkan kadar penghantaran bekalan air minuman dan membina tempat perlindungan di Tonga. - Foto AGENSI
Petugas dan sukarelawan agensi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah kini meningkatkan kadar penghantaran bekalan air minuman dan membina tempat perlindungan di Tonga. - Foto AGENSI

Bantuan ke Tonga ditingkatkan

MELBOURNE/SYDNEY: Bantuan kemanusiaan ke Tonga dipertingkatkan selepas lapangan terbang negara berkenaan berupaya dibersihkan daripada litupan debu gunung berapi.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah berkata, keadaan itu sekali gus memberi ruang kepada pesawat yang membawa muatan bantuan kemanusiaan untuk mendarat dengan lebih selamat.

Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah berkata, petugas dan sukarelawan agensi berkenaan kini meningkatkan kadar penghantaran bekalan air minuman dan membina tempat perlindungan di seluruh kepulauan itu.

"Bencana ini menjejaskan rakyat Tonga pada skala yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini.

"Ombak tsunami pula memusnahkan kediaman dan kawasan perkampungan, tetapi kini kita dalam usaha untuk membina semula rumah mereka meskipun debu masih ada," kata Setiausaha Agung Palang Merah Tonga, Sione Taumoefolau, menerusi kenyataan.

Agensi Amerika Syarikat (AS) untuk Pembangunan Antarabangsa (USAID) berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyediakan bantuan kemanusiaan tambahan sebanyak AS$2.5 juta (RM10.48 juta), selain ketibaan kapal pemusnah USS Sampson bagi membantu usaha penyaluran bantuan di Tonga.

Kapal perang Australia dilaporkan berlabuh di Tonga, petang tadi, bagi menyampaikan bantuan tanpa membabitkan sebarang pertemuan secara langsung, memandangkan hampir 24 kru kapal terbabit disahkan dijangkiti COVID-19.

Radio penyiaran Broadcom melaporkan Menteri Kesihatan Tonga, Saia Piukala, berkata 29 kes positif direkodkan di atas kapal HMAS Adelaide, namun semuanya tidak mengalami sebarang gejala.

"Kapal itu akan berlabuh dan tiada pertemuan akan berlaku. Warga Australia dari kapal berkenaan akan mengeluarkan kargo mereka dan dihantar ke pelabuhan," katanya.

PBB, Palang Merah dan pelbagai agensi bantuan lain yang berada di lapangan di Tonga memberi peringatan bahawa penularan COVID-19 di kepulauan itu berupaya mengundang bencana baharu pada waktu genting ini.

"Ada keperluan mendesak untuk penduduk di pulau ini mendapatkan sumber air yang selamat untuk diminum bagi tempoh beberapa hari dan minggu akan datang.

"Debu didapati berada dalam tangki air, justeru proses rawatan memerlukan tempoh dan penelitian sebelum ia selamat digunakan.

"Debu ini juga sudah melitupi sebahagian besar Tonga, termasuk rumah dan tanaman," kata Taumoefolau. - REUTERS

Berita Harian X