Selasa, 25 Januari 2022 | 4:19pm
Anggota Pasukan Pertahanan Australia menaiki HMAS Adelaide dalam perjalanan ke Tonga minggu lalu. - Foto AGENSI
Anggota Pasukan Pertahanan Australia menaiki HMAS Adelaide dalam perjalanan ke Tonga minggu lalu. - Foto AGENSI

COVID-19 ancam misi bantuan ke Tonga

NUKU'ALOFA: Penularan COVID-19 dalam kapal perang Australia dilihat bakal menjejaskan misi bantuan letusan Tonga hari ini, ketika mangsa letusan gunung berapi itu hanya sempat melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang.

Australia mengetuai misi bantuan antarabangsa dengan menghantar air dan bantuan kemanusiaan segera mungkin ke negara yang memiliki populasi seramai 100,000 orang itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di Canberra memaklumkan 23 kes COVID-19 dikesan dalam kalangan krew kapal perang HMAS Adelaide, yang sedang bergerak ke arah Nuku'alofa bersama bekalan bantuan.

Tonga adalah antara beberapa lokasi di seluruh dunia yang masih bebas COVID-19 sehingga kini, dan Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton menegaskan misi bantuan itu tidak akan dibenarkan menjejaskan status berkenaan.

Menurut Dutton, kapal itu akan kekal di laut sementara perbincangan dengan pihak berkuasa Tonga berjalan, bagi memutuskan sama ada krew kapal akan cuba melaksanakan penghantaran bantuan 'tanpa sentuhan'.

"Kita tidak akan merisikokan penduduk Tonga, namun pada masa sama kita perlu menghantar bantuan ini secepat mungkin," katanya seperti dilaporkan Sky News Australia.

Selain Australia, misi bantuan kemanusiaan itu turut dilaksanakan New Zealand, Perancis, Jepun dan China susulan insiden yang disifatkan oleh kerajaan Tonga sebagai 'bencana luar jangka'.

Letusan pada 15 Januari lalu itu menyebabkan tsunami dan menutup ruang udara Pasifik dengan debu toksik, ketika ia memusnahkan sebuah pulau tanpa penghuni dengan letupan yang lebih kuat daripada sebuah bom nuklear. - AFP

Berita Harian X