Isnin, 24 Januari 2022 | 6:18pm
Gambar daripada satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai di Lautan Pasifik, pada 15 Januari lalu. - Foto EPA
Gambar daripada satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai di Lautan Pasifik, pada 15 Januari lalu. - Foto EPA
Pantai musnah selepas tsunami di Nuku'alofa, Tonga. - Foto REUTERS
Pantai musnah selepas tsunami di Nuku'alofa, Tonga. - Foto REUTERS

Letusan Tonga beratus-ratus kali ganda bom atom Hiroshima

NUKU'ALOFA: Letusan gunung berapi Tonga menghasilkan kuasa letupan jauh lebih kuat berbanding bom atom di Hiroshima.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkata, debu gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai mencapai ketinggian 40 kilometer di atmosfera pada 15 Januari lalu, sehingga mencetuskan gelombang ombak tsunami.

"Kami jangka jumlah tenaga yang dihasilkan daripada letupan gunung berapi itu antara lima hingga 30 megatan (lima hingga 30 juta tan) TNT (bahan kimia Trinitrotoluene)," kata saintis NASA, Jim Garvin, menerusi kenyataan.

NASA berkata, letusan gunung berapi itu beratus-ratus kali ganda lebih kuat daripada bom atom digugurkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima, Jepun pada Ogos 1945, yang dianggarkan 15 kilotan (15,000 tan) TNT.

Agensi itu berkata, letusan berkenaan memusnahkan kepulauan yang terletak di 65 kilometer utara ibu negara Tonga, Nuku'alofa.

Malah, debu toksik setebal 100,000 lapisan yang terhasil menyelubungi keseluruhan kawasan sehingga meracuni air minuman, memusnahkan tanaman dan melenyapkan sekurang-kurangnya dua kampung.

Bencana berkenaan turut mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa di Tonga dan menyebabkan dua individu yang berada di pantai di Peru, lemas selepas dibadai ombak besar di negara Amerika Selatan itu.

Susulan itu, pihak berkuasa Peru mengisytiharkan bencana alam sekitar selepas ombak tsunami membadai sebuah kapal membawa minyak, berdekatan Lima, sekali gus mencetuskan tumpahan minyak di pesisir pantai.

Di Tonga, kemusnahan belum dapat dinilai kerana selepas semua bentuk komunikasi di kepulauan berkenaan dilaporkan musnah. - AFP

Pesawat merakam debu di Tonga. - Foto AFP
Pesawat merakam debu di Tonga. - Foto AFP

Berita Harian X