Ahad, 23 Januari 2022 | 12:06pm
 Foto hiasan - AFP
Foto hiasan - AFP

Pelajar di NSW, Victoria jalani ujian COVID-19 dua kali seminggu

SYDNEY: Australia melaporkan 58 kematian akibat COVID-19 pada Ahad ketika dua negeri yang mempunyai paling ramai penduduk, New South Wales (NSW) dan Victoria akan melaksanakan ujian saringan COVID-19 dua kali seminggu ke atas pelajar apabila sesi persekolahan bermula minggu depan.

NSW melaporkan 34 kematian akibat COVID-19, manakala Victoria menyaksikan 14 kematian, dan Queensland melaporkan 10 kematian.

Pegawai kesihatan berkata mereka percaya wabak Omicron memuncak di NSW dan Victoria, yang masing-masing melaporkan 20,324 dan 13,091 kes baharu pada Ahad.

Sesi persekolahan di Australia kembali selepas cuti musim panas.

Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet, berkata ibu bapa akan diminta menggunakan ujian antigen pantas dua kali seminggu untuk menyaring anak-anak mereka dan melaporkan sebarang keputusan kepada sekolah dan kerajaan.

Jutaan kit ujian sedang diedarkan kepada 3,000 sekolah minggu ini, dan pelajar perlu menjalani saringan sebelum menghadiri hari pertama persekolahan, katanya kepada pemberita di Sydney.

Guru dan pelajar sekolah menengah akan diwajibkan memakai pelitup muka.

Victoria juga mengesyorkan ujian dua kali seminggu terhadap pelajar di bawah rancangan kembali ke sekolah.

Kakitangan sekolah di NSW dan Victoria perlu divaksin COVID-19, dan guru di Victoria perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya akhir Februari ini, kata pegawai kesihatan Victoria. - REUTERS

Berita Harian X