Sabtu, 22 Januari 2022 | 5:53pm
Gambar satelit pulau Mango di Tong, sebelum letusan gunung berapi. - Foto AGENSI
Gambar satelit pulau Mango di Tong, sebelum letusan gunung berapi. - Foto AGENSI

Rakyat Tonga tekad pulihkan negara

NUKU'ALOFA: Rakyat Tonga bertekad untuk membina semula tanah air mereka yang terjejas akibat letupan gunung berapi dahsyat dan tsunami.

Letupan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai pada Sabtu lalu, mencetuskan tsunami sehingga membadai kepulauan Tonga, selain memberi kesan terhadap lebih 80 peratus penduduk negara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Debu toksik yang dimuntahkan gunung berapi mencemarkan bekalan air minuman penduduk, termasuk merosakkan tanaman dan mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kampung musnah.

Susulan kejadian itu, operasi penyaluran bekalan bantuan kemanusiaan kekal menjadi cabaran selepas kabel bawah laut yang menghubungkan Tonga dengan dunia terputus.

Namun begitu, wartawan Tonga, Marian Kupu, berkata kebanyakan penduduk tempatan bertegas untuk kekal di situ untuk menjalankan pemulihan besar-besaran.

"Kami mahu berada di negara kami kerana ini menunjukkan kami sebagai rakyat Tonga. Kami mahu membina semula negara kami dan bersatu padu serta bergerak ke depan," katanya.

Dianggarkan satu kilometer padu bahan diletupkan dari gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai.

Pakar menjangka gunung berapi itu akan kekal aktif selama beberapa minggu, bahkan beberapa bulan.

"Rakyat Tonga akan memerlukan sokongan berterusan untuk menghadapi bencana sebesar ini," kata Pegawai Penyelarasan PBB di Tonga, Sione Hufanga. - AFP

Kenderaan tentera Australia menunggu untuk memasuki HMAS Adelaide, di Brisbane, bagi operasi bantuan di Tonga. - Foto EPA
Kenderaan tentera Australia menunggu untuk memasuki HMAS Adelaide, di Brisbane, bagi operasi bantuan di Tonga. - Foto EPA

Berita Harian X