Khamis, 20 Januari 2022 | 7:34am
Antara gambar awal menunjukkan kemusnahan di Nuku'alofa, Tonga akibat tsunami yang menyusuli letusan gunung berapi pada 18 Januari 2022. - Foto REUTERS
Antara gambar awal menunjukkan kemusnahan di Nuku'alofa, Tonga akibat tsunami yang menyusuli letusan gunung berapi pada 18 Januari 2022. - Foto REUTERS

Komunikasi di Tonga dipulihkan selepas 5 hari

NUKU'ALOFA: Talian komunikasi berjaya dipulihkan di Tonga selepas lima hari tragedi letusan gunung berapi dan tsunami berlaku di negara kepulauan Pasifik itu.

Bagaimanapun, pemulihan sambungan internet sepenuhnya mungkin mengambil masa sebulan atau lebih berdasarkan kenyataan syarikat kabel komunikasi dasar laut kepulauan itu.

Kira-kira 105,000 orang terputus hubungan dengan dunia luar berikutan letupan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai, yang meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa dan menghantar gelombang tsunami ke seluruh Pasifik.

Wartawan tempatan, Marian Kupu, berkata rakyat Tonga sedang dalam proses membersihkan rumah, namun bimbang sekiranya kehabisan air minuman.

"Setiap rumah mempunyai tangki bekalan air sendiri tetapi kebanyakannya dipenuhi dengan habuk, jadi ia tidak selamat untuk diminum.

"Bekalan makanan juga dianggarkan mungkin bertahan untuk beberapa minggu akan datang tetapi saya tidak pasti mengenai bekalan air," katanya.

Jelasnya, beberapa kampung di sebelah Barat Tonga dilanda bencana teruk serta tidak dapat dipastikan jumlah kematian dan kerajaan kini sedang menjalankan operasi pemeriksaan.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 84,000 orang iaitu lebih daripada 80 peratus penduduk terjejas teruk akibat bencana itu.

"Mereka kehilangan rumah, komunikasi dan apa yang kami difahamkan sekarang ialah bekalan air bersih juga semakin berkurangan.

"Air adalah isu terbesar dalam menyelamatkan nyawa kerana sumber air sedia ada tercemar, sistem air tidak berfungsi," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, kepada pemberita. - REUTERS

Berita Harian X