Selasa, 18 Januari 2022 | 5:32pm
Gambar udara yang diambil pada 17 Januari 2022 oleh pesawat Orion Tentera Udara Diraja New Zealand menunjukkan pemandangan pulau utama Tonga selepas letusan gunung berapi. - Foto Kementerian Pertahanan New Zealand/Xinhua
Gambar udara yang diambil pada 17 Januari 2022 oleh pesawat Orion Tentera Udara Diraja New Zealand menunjukkan pemandangan pulau utama Tonga selepas letusan gunung berapi. - Foto Kementerian Pertahanan New Zealand/Xinhua

Tonga alami kerosakan besar, jumlah kematian meningkat

SYDNEY/WELLINGTON: Pulau-pulau kecil di luar Tonga mengalami kerosakan besar akibat letusan gunung berapi yang menyebabkan tsunami, kata seorang diplomat Tonga.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan lebih banyak kematian dan kecederaan berlaku kesan bencana alam itu.

Timbalan Ketua Misi Tonga di Australia, Curtis Tu'ihalangingie, berkata paparan imej 'membimbangkan' diambil pesawat peninjau Pasukan Pertahanan New Zealand (NZDF) menunjukkan seluruh kampung musnah di pulau Mango dan banyak bangunan hilang di pulau Atata yang berdekatan.

"Orang ramai panik, mereka berlari dan ramai yang cedera.

"Mungkin akan ada lebih banyak kematian dan kami hanya berdoa supaya ia tidak berlaku," katanya kepada Reuters.

Polis Tonga memberitahu Suruhanjaya Tinggi New Zealand, bahawa jumlah kematian yang disahkan berjumlah dua orang, namun komunikasi di negara kepulauan Pasifik Selatan itu terputus, menyebabkan jumlah sebenar kematian tidak diketahui.

Menteri Australia bagi Pasifik, Zed Seselja, berkata pegawai Tonga berharap dapat memindahkan orang ramai dari pulau yang terpencil dan terletak di kawasan rendah, Pulau Ha'apai dan pulau luar lain yang keadaannya 'sangat teruk' kerana ada banyak rumah musnah dalam tsunami.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini melaporkan isyarat kecemasan dikesan di Ha'apai, yang menempatkan pulau Mango.

Tentera laut Tonga melaporkan kawasan itu dilanda ombak yang dianggarkan setinggi 5-10 meter, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

Atata dan Mango berada antara kira-kira 50 dan 70 kilometer (km) dari gunung berapi Tonga-Hunga Ha'apai, yang menghantar gelombang tsunami merentasi Lautan Pasifik dan dirasai kira-kira 2,300 km jauhnya di New Zealand apabila ia meletus Sabtu lalu.

Atata mempunyai populasi kira-kira 100 orang dan Manggo sekitar 50 orang.

"Sangat membimbangkan melihat ombak itu mungkin melalui Atata dari hujung pulau ke hujung yang lain," kata Tu'ihalangingie.

Imej NZDF, yang disiarkan secara tidak rasmi di laman Facebook dan disahkan oleh Tu'ihalangingie, juga menunjukkan perca kain tarpal digunakan sebagai tempat perlindungan di pulau Mango.

Warga Britain, Angela Glover, 50, terbunuh dalam tsunami ketika dia cuba menyelamatkan anjing jagaannya di pusat perlindungan, menurut abangnya, iaitu kematian pertama yang dilaporkan dalam bencana itu.

Sementara itu, BBC melaporkan, kira-kira 80,000 penduduk terjejas susulan letusan gunung berapi dasar laut di Tonga yang mencetuskan tsunami di beberapa negara Pasifik Sabtu lalu.

Katanya, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) memaklumkan tsunami yang membadai pesisir pantai Pasifik dari Jepun ke AS itu turut menyebabkan kerosakan besar seperti bekalan elektrik terputus.

Talian internet dan telefon turut terjejas sehingga menyebabkan 105,000 penduduk tidak dapat dihubungi sehingga kini.

Wakil IFRC di Fiji, Katie Greenwood berkata, bantuan asas diperlukan segera bagi membantu mangsa yang terperangkap di sana.

"Kami jangka seramai 80,000 orang di seluruh Tonga terkesan sama ada disebabkan letusan gunung berapi, ombak tsunami atau banjir akibat gegaran itu.

"Bencana itu mengejutkan ramai orang dan kami bimbang terhadap penduduk yang berada di luar kawasan pulau," katanya. - AGENSI

Berita Harian X