Sabtu, 15 Januari 2022 | 7:28am
Keradangan tulang belakang disyorkan sebagai kesan sampingan tambahan terhadap suntikan vaksin COVID-19, AstraZeneca oleh panel keselamatan EMA. - Foto REUTERS
Keradangan tulang belakang disyorkan sebagai kesan sampingan tambahan terhadap suntikan vaksin COVID-19, AstraZeneca oleh panel keselamatan EMA. - Foto REUTERS

Masalah tulang belakang kesan sampingan suntikan AstraZeneca - EMA

BENGALURU: Keradangan tulang belakang yang jarang berlaku dikenali sebagai mielitis melintang disyorkan sebagai kesan sampingan tambahan terhadap suntikan vaksin COVID-19, AstraZeneca oleh panel keselamatan pengawal selia ubat-ubatan Eropah, semalam.

Sebelum ini, Jawatankuasa keselamatan Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga mengesyorkan amaran serupa bagi vaksin suntikan tunggal Johnson & Johnson pada Oktober lalu, dan mengulangi gesaan itu, semalam.

Mielitis melintang adalah keradangan membabitkan sebelah atau kedua-dua belah saraf tunjang dan boleh menyebabkan kelemahan pada lengan atau kaki, gejala deria atau masalah dengan fungsi pundi kencing atau usus.

Mengulas mengenai perkara itu, jurucakap AstraZeneca bagaimanapun berkata, sehingga kini tiada mekanisme yang dapat mengesahkan mengenai kesan sampingan berkenaan.

"Sehingga kini tiada mekanisme yang dapat mengesahkan vaksin COVID-19 yang mana boleh menyebabkan keradangan yang jarang berlaku ini," katanya.

Sementara itu, jawatankuasa EMA melalui semakan datanya menyimpulkan terdapat kemungkinan yang dapat diterima mengenai kaitan antara kedua-dua vaksin dan mielitis melintang.

Namun, pihaknya menjelaskan kesan manfaat kedua-dua vaksin itu masih kekal sama.

Agensi kawal selia itu tidak menyediakan sebarang maklumat mengenai jumlah kes yang dilaporkan selepas vaksinasi diberikan namun menjelaskan mielitis melintang dimasukkan dalam senarai sebagai tindak balas buruk yang tidak diketahui kekerapannya dalam informasi produk.

Vaksin AstraZeneca sebelum ini berdepan beberapa masalah, termasuk kelewatan pengeluaran dan siasatan oleh pengawal selia berikutan kesan sampingan luar biasa yang teruk seperti pembekuan darah dengan platelet rendah, sehingga menyebabkan beberapa negara menyekat atau menghentikan penggunaannya.

Mielitis melintang juga adalah antara kesan sampingan dikesan pada peringkat awal pembangunan untuk kedua-dua suntikan AstraZeneca dan J&J, yang dibangunkan dengan teknologi sama.

EMA juga mengesyorkan kemas kini maklumat produk untuk vaksin AstraZeneca mengenai pembekuan darah luar biasa dengan kiraan platelet yang rendah selepas suntikan pertama, namun lebih sedikit kesan sampingan sedemikian diperhatikan selepas dos kedua.

Terdapat 1,809 kes yang dipanggil trombosis dengan sindrom trombositopenia dilaporkan di seluruh dunia, dengan 1,643 dilaporkan selepas dos pertama dan 166 selepas dos kedua. - REUTERS

Berita Harian X