Jumaat, 7 Januari 2022 | 7:40am
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 di pantai Bondi di Sydney, Australia, yang menyaksikan peningkatan ketara jangkitan coronavirus. - Foto AGENSI
Kakitangan perubatan melakukan ujian COVID-19 di pantai Bondi di Sydney, Australia, yang menyaksikan peningkatan ketara jangkitan coronavirus. - Foto AGENSI

Australia laksanakan semula larangan COVID-19

SYDNEY: Negeri paling padat di Australia, New South Wales (NSW) akan menguatkuasakan semula larangan COVID-19 susulan peningkatan jangkitan akibat varian Omicron.

Antara tindakan awal ialah menutup kelab malam dan menangguhkan pembedahan tidak kritikal.

Menerusi laporan Sydney Morning Herald, yang memetik sumber pegawai kanan kerajaan, langkah itu dijangka diluluskan oleh jawatankuasa pemulihan ekonomi kerajaan negeri hari ini.

Melalui peraturan itu, kapasiti di kafe dan restoran di NSW termasuk di ibu negeri, Sydney, akan dihadkan sementara manakala acara nyanyian dan tarian di kelab dilarang.

Kaedah larangan itu akan diketengahkan sebagai langkah keselamatan berbanding penguatkuasaan perintah sekatan.

NSW selaku negeri paling terjejas akibat penularan Omicron, mencatatkan rekod kes harian yang tinggi sejak beberapa hari lalu dengan keseluruhan 47,799 kes baharu dilaporkan di Australia.

Pesakit yang dimasukkan ke hospital di negeri itu akibat COVID-19 meningkat dua kali ganda kepada 1,609 dalam tempoh seminggu.

Terdapat kira-kira 150 kes harian di negeri itu pada akhir November lalu iaitu ketika awal pengesanan Omicron, namun ia melonjak kepada 35,000 kes semalam.

Ketua Menterinya, Dominic Perrottet, sebelum ini dengan tegas memutuskan untuk tidak mengembalikan sekatan dan menolak saranan doktor dan pekerja kesihatan dengan mengatakan sudah tiba masanya masyarakat hidup dengan COVID-19.

Pejabat Ketua Menteri itu bagaimanapun tidak memberikan maklum balas terhadap

laporan akhbar terkini itu.

Negeri jiran, Victoria, sebelum ini menguatkuasa semula larangan mengehadkan pengunjung di pub dan kelab.

Selepas berjaya mengawal kes COVID-19 melalui perintah sekatan, peraturan sempadan dan penjarakan fizikal yang ketat pada awal kemunculan COVID-19, Australia kini bergelut dengan kadar jangkitan jauh lebih tinggi berbanding tempat lain di Asia Pasifik.

Malah, pihak berkuasa juga pernah memberi amaran jumlah kes dijangka meningkat ketara dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Australia merekodkan lebih daripada 684,000 kes dan  2,301 kematian sejak pandemik bermula dengan lebih separuh daripada jangkitan itu dilaporkan berlaku dalam tempoh dua minggu lalui. - REUTERS

Berita Harian X