Rabu, 22 Disember 2021 | 8:15pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Keputusan ujian imuniti COVID-19 Australia dalam 20 minit

SYDNEY: Penyelidik Australia membangunkan ujian yang boleh memberikan bacaan sangat tepat untuk imuniti COVID-19 dalam tempoh 20 minit melalui ujian darah.

Keputusan di lokasi ujian (POC) yang dicipta saintis dari Institut Burnet serta Institut Jangkitan dan Imuniti Peter Doherty itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia, menurut penyelidikan yang diumumkan hari ini.

Sampel titisan darah daripada tusukan di jari sudah mencukupi untuk menjalankan ujian dan keputusannya lebih pantas diperoleh berbanding kaedah lain.

Terdapat banyak ujian POC yang boleh mengukur tahap keseluruhan antibodi bagi SARS-CoV-2 dan ia menganggarkan antibodi meneutralkan (NAb).

Bagaimanapun, penyelidik membangunkan ujian terbaru itu berkata kaedah mereka adalah satu-satunya yang dapat mengukur aktiviti NAb dan mengaitkannya dengan perlindungan imuniti untuk COVID- 19.

Menulis kejayaan mereka dalam jurnal EBioMedicine, saintis mencatatkan ujian serba boleh itu mampu disesuaikan untuk memberi maklumat sama ada individu terbabit mempunyai antibodi pelindung terhadap varian penyakit tertentu seperti Omicron.

Peningkatan varian Omicron, seperti yang dicadangkan kajian awal, mungkin 40 kali kurang sensitif terhadap NAb pesakit berbanding Delta, bermakna sesetengah orang akan tiba-tiba berubah daripada mempunyai NAb pelindung mencukupi kepada tidak cukup.

Timbalan Pengarah Institut Burnet, Prof Madya David Anderson, berkata ujian POC mungkin berguna untuk menunjukkan dengan cepat bila dos penggalak vaksin diperlukan.

"Salah satu elemen utama ujian ialah ia boleh berfungsi dengan hanya titisan darah dari hujung jari, yang penting jika ia mahu digunakan bagi POC kerana menjimatkan masa dan tenaga kerja.

"Kelebihan lain ialah ia dengan mudah mampu diubah suai untuk menguji varian berbeza.

"Walaupun kami belum lagi menguji varian Omicron, adalah mudah bagi kami menggabungkannya ke dalam ujian sebagai ganti strain asal atau varian sudah diuji," katanya.

Ia juga akan menyediakan ujian piawaian bagi membantu pembukaan semula sempadan negara dan antarabangsa dengan selamat dalam konteks vaksin yang berbeza dan tindak balas berubah-ubah dalam kalangan pelbagai penduduk.

Saintis menjangkakan ujian itu akan menjadi pilihan baharu untuk saringan imuniti bagi menyokong program vaksinasi dan kawalan, terutamanya jika keadaan kritikal dan dalam kalangan masyarakat miskin atau terpencil.

Ini kerana sampel titisan darah mudah diambil dan keputusan ujian pula hanya mengambil masa 20 minit dengan kosnya jauh lebih rendah. - AGENSI

Berita Harian X