Selasa, 14 Disember 2021 | 11:26am
 Foto AFP
Foto AFP

Moderna akan hasilkan jutaan dos vaksin mRNA di Australia

SYDNEY: Syarikat pengeluar ubat Amerika Syarikat (AS), Moderna Inc bakal menghasilkan jutaan dos vaksin mRNA setahun di Australia selepas bersetuju membina kemudahan pembuatan terbesarnya di luar AS dan Eropah.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, berkata kilang di Victoria itu dijangka menghasilkan sehingga 100 juta dos vaksin mRNA setiap tahun apabila ia mula beroperasi pada 2024.

"Dengan perkongsian baharu ini, kami sedang membina keupayaan kami untuk mengeluarkan vaksin di Australia," kata Morrison kepada pemberita di Melbourne.

Bagaimanapun Morrison tidak menyatakan butiran kewangan perjanjian itu tetapi media Australia melaporkan perjanjian itu mungkin bernilai kira-kira A$2 bilion (RM6 bilion).

Menurut Moderna, syarikat itu pada Oktober merancang melabur sehingga AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk membina sebuah kilang di Afrika bagi menghasilkan sehingga 500 juta dos vaksin mRNA setiap tahun, termasuk vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata ia belum memulakan proses menentukan negara dan lokasi.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Moderna dan Pfizer menggunakan teknologi mRNA – messenger ribonucleic acid – tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengeluarkan vaksin untuk penyakit pernafasan lain dan selesema bermusim.

Pengumuman itu dibuat ketika negeri jiran, New South Wales, melaporkan peningkatan harian tertinggi dalam kes COVID-19 sejak sekatan pergerakan hampir empat bulan berakhir pada awal Oktober.

Varian Delta menyumbang kebanyakan 804 kes yang dilaporkan hari ini, walaupun bilangan kes Omicron semakin meningkat.

Walaupun peningkatan dalam jangkitan baharu, pegawai berkata pelonggaran sekatan yang dirancang di Sydney mulai esok akan diteruskan kerana mereka menggesa orang ramai mendapatkan suntikan penggalak untuk mengelak ancaman Omicron.

Hampir 90 peratus populasi Australia menerima dua dos vaksin dan negara itu memendekkan sela masa untuk suntikan penggalak selepas kemunculan Omicron.

Negara itu merekodkan kira-kira 232,700 kes dan 2,113 kematian sejak pandemik bermula. - AGENSI

Berita Harian X