Isnin, 13 Disember 2021 | 8:05am
Penduduk di Brisbane, Australia menunggu ketibaan anggota keluarga di Lapangan Terbang Brisbane susulan pembukaan semula sempadan Queensland kepada pengembara divaksin, selepas sekatan tegas selama 229 hari. - Foto EPA
Penduduk di Brisbane, Australia menunggu ketibaan anggota keluarga di Lapangan Terbang Brisbane susulan pembukaan semula sempadan Queensland kepada pengembara divaksin, selepas sekatan tegas selama 229 hari. - Foto EPA

Australia kurangkan sela masa suntikan dos penggalak COVID-19

CANBERRA: Australia akan mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan dos vaksin penggalak COVID-19 susulan peningkatan kes varian Omicron.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan akan menawarkan suntikan penggalak buat setiap orang berusia lebih 18 tahun selepas enam bulan mereka menerima vaksin dos kedua.

Namun, dengan pertambahan kes varian Omicron, Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt, berkata sela masa akan dipendekkan kepada lima bulan selepas dos suntikan kedua.

"Langkah mengurangkan sela masa bermakna sekitar 1.5 juta orang layak menerima suntikan penggalak mulai semalam, lapor akhbar Herald Sun.

"Suntikan penggalak, lima bulan atau lebih selepas suntikan kedua, akan memastikan perlindungan suntikan asas akan lebih kuat lagi dan lebih berdaya tahan, sekali gus membantu mengekang penularan virus.

"Data daripada Israel menunjukkan suntikan penggalak mengurangkan kadar jangkitan dalam kumpulan usia yang layak, penyakit teruk bagi mereka golongan berusia lebih 40 tahun dan kematian dalam kalangan mereka berusia melebihi 60 tahun," katanya dalam kenyataan menerusi e-mel.

Australia akan menggunakan kedua-dua vaksin daripada Pfizer dan Moderna dalam program suntikan penggalak.

Australia juga adalah antara negara dengan penduduk paling ramai divaksin, dengan sekitar 90 peratus orang melebihi 16 tahun sudah lengkap divaksin.

Negeri paling ramai penduduk, New South Wales, yang melihat penurunan kes baru buat kali pertama dalam enam hari, melaporkan 485 jangkitan baru semalam berbanding 560 kes baru kelmarin.

Terdapat 55 kes varian Omicron di New South Wales selepas 10 kes disahkan semalam dan lebih lagi kes dijangka menyusuli pengesahan ujian genom, kata pemerintah Australia.

Victoria pula melaporkan 1,069 kes tambahan, berkurangan daripada 1,193 kes yang dilaporkan kelmarin. - AGENSI

Berita Harian X