Sabtu, 4 Disember 2021 | 6:53pm
Ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan keberkesanan vaksin terhadap Omicron. - Foto AGENSI
Ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan keberkesanan vaksin terhadap Omicron. - Foto AGENSI

Delta masih mendominasi, ambil dos penggalak - pakar

PARIS: Tiada pihak mengetahui kadar keberkesanan vaksin menghalang jangkitan dan penularan varian Omicron atau tahap perlindungan daripada penyakit teruk.

Ujian makmal sedang dijalankan bagi menentukan keberkesanan vaksin terhadap Omicron dengan keputusan dijangka dalam beberapa minggu lagi, selain varian Delta kekal dominan dengan pakar, kerajaan dan pembuat vaksin menggesa orang ramai memanfaatkan suntikan penggalak.

Delta terbukti mampu mengelak pertahanan vaksin terhadap penularan lebih baik berbanding varian Alpha, Beta dan Gamma, bagaimanapun suntikan kekal sangat berkesan bagi mencegah penyakit teruk akibat Delta, selain mengurangkan risiko sumber hospital berlebihan.

Beberapa negara cuba mempercepatkan kempen dos penggalak dengan Delta masih dominan di Eropah.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menyasarkan untuk menawarkan dos penggalak kepada semua populasi dewasa menjelang akhir Januari depan dan mengurangkan tempoh menunggu antara suntikan kedua dan ketiga daripada enam kepada tiga bulan.

Di Amerika Syarikat (AS), Pfizer sedang memohon kebenaran untuk suntikan penggalak diberikan kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Penyelaras strategi vaksin pandemik Perancis, Alain Fischer, berkata menjadi kesilapan serius jika memperlahankannya sekarang.

"Mesej kami ialah: Jangan gentar, rancangannya tetap sama: Percepatkan pemberian suntikan penggalak," kata pengasas bersama BioNTech, Ugur Sahin, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ketua Moderna, Stephane Bancel memberitahu Financial Times minggu ini, beliau menjangkakan 'penurunan material' dalam keberkesanan suntikan terhadap varian baharu itu.

Ujian makmal untuk mengukur kelemahan Omicron terhadap vaksin digunakan kini sedang dijalankan, proses yang sepatutnya membuahkan hasil antara dua hingga tiga minggu.

Pfizer, Johnson & Johnson dan Moderna masing-masing berkata, mereka mula mengusahakan versi baharu vaksinnya, khusus menyasarkan Omicron, jika dos sedia ada tidak berkesan.

Pfizer membuat suntikan khas ketika kemunculan Delta, tetapi tidak pernah melancarkannya.

Pakar COVID-19 di Institut Penyelidikan Nasional Perancis CNRS, Bruno Canard, berkata makmal akhirnya bergantung kepada fakta suntikan mereka melindungi daripada jangkitan teruk, tetapi virus masih boleh tersebar.

Katanya, Pfizer menjanjikan vaksin baharu dalam tempoh 100 hari tetapi pelancaran akan mengambil masa lebih lama dan tidak akan dilaksanakan sebelum musim bunga.

"Ketika ini, vaksin sedia ada melindungi jangkitan teruk akibat varian Delta." - AFP

Berita Harian X