Sabtu, 27 November 2021 | 3:33pm
Keadaan di daerah Chinatown di Honiara yang dilanda rusuhan. - FOTO AFP
Keadaan di daerah Chinatown di Honiara yang dilanda rusuhan. - FOTO AFP

3 rentung bangunan terbakar dalam pergolakan Kepulauan Solomon

HONIARA: Tiga mayat ditemui dalam sebuah bangunan yang hangus dalam kebakaran di ibu negara Kepulauan Solomon, Honiara, menurut polis, hari ini.

Ia adalah kejadian kematian yang pertama dilaporkan, selepas tercetusnya rusuhan selama berhari-hari.

Mayat yang rentung berkenaan dilaporkan dijumpai dalam sebuah stor di daerah Chinatown di Honiara.

Seorang pengawal keselamatan ketika memberitahu AFP pula mendakwa beliau menemui mayat berkenaan dalam dua bilik, semalam.

Polis berkata, pasukan forensik sudah melancarkan siasatan dan masih berada di tempat kejadian, namun punca kematian mangsa belum dikenal pasti, setakat ini.

Jalanan di ibu negara ini agak sunyi, pagi tadi, ketika penduduk tempatan mula meninjau dan menilai kerosakan yang berlaku akibat rusuhan berkenaan.

Perintah berkurung dikuatkuasakan semalaman di bandar bergolak ini, selepas hari ketiga rusuhan yang menyaksikan kediaman Perdana Menteri diserang dan sebahagian besar kawasan diseliputi asap kebakaran.

Pasukan pengaman Australia yang tiba di negara ini, kelmarin, turut ditempatkan di jalanan bersama polis bagi memulihkan semula ketenteraman serta melindungi infrastruktur kritikal.

Antara punca keganasan tercetus didakwa berkait kekecewaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Manasseh Sogavare, dan masalah pengangguran yang teruk serta diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19.

Pakar berpandangan, krisis itu juga didorong oleh permusuhan berpanjangan antara penduduk di Pulau Malaita - pulau yang mempunyai paling ramai penduduk di negara ini - dengan Kerajaan Pusat yang berpangkalan di Pulau Guadalcanal.

Negara dengan kepadatan kira-kira 700,000 penduduk ini telah dibelenggu ketegangan etnik dan politik selama berdekad-dekad.

Sejak sekian lama, penduduk Pulau Malaita mendakwa pulau mereka diabaikan Kerajaan Pusat, dan perpecahan semakin parah apabila Sogavare mengiktiraf Beijing pada 2019. - AFP

Berita Harian X