Selasa, 14 September 2021 | 5:31pm
Seorang wanita menunggu giliran bagi suntikan vaksin COVID-19 di klinik inokulasi di Institut Sukan Australia (AIS) di Canberra, Australian. - Foto EPA
Seorang wanita menunggu giliran bagi suntikan vaksin COVID-19 di klinik inokulasi di Institut Sukan Australia (AIS) di Canberra, Australian. - Foto EPA

Australia perluas vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak

SYDNEY: Australia akan memperluas usaha vaksinasi COVID-19 merangkumi sekitar sejuta kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.

Negara itu sedang menunggu bekalan tambahan dalam usaha meningkatkan kadar inokulasi di tengah-tengah lonjakan jangkitan terutama akibat varian Delta.

Australia kini sedang berusaha mengawal gelombang ketiga coronavirus daripada varian Delta yang pantas menular dengan melaksanakan sekatan di bandar terbesarnya, Sydney dan Melbourne selain mempercepatkan program inokulasi.

Kenaikan kes jangkitan yang berterusan mendorong pihak berkuasa untuk mendapatkan bekalan vaksin kecemasan.

Tambahan sejuta dos vaksin Moderna dibeli dari Kesatuan Eropah (EU) Ahad lalu sementara perjanjian pertukaran vaksin dengan Britain dan Singapura dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lalu.

Ketua Koordinator Operasi COVID Shield, Leftenan Jeneral John Frewen, dalam temu bual dengan agensi berita ABC semalam, berkata pihaknya mempunyai bekalan dan memiliki jaringan pengedaran yang mantap.

"Sekarang ia benar-benar terpulang kepada orang ramai untuk tampil, mendaftar dan mendapatkan vaksin," katanya yang juga antara pegawai kanan dalam Pasukan Pertahanan Australia.

Dengan kadar vaksinasi dos pertama mencapai hampir 80 peratus di New South Wales, beberapa sekatan ketat dilonggarkan bagi penduduk yang diberi vaksin sepenuhnya di Sydney.

Mulai semalam, lima orang dibenarkan bertemu di luar manakala anggota dalam keluarga yang sama di 12 kawasan luar bandar Sydney yang paling teruk terjejas boleh berkumpul di luar selama dua jam.

Satu kes virus yang kali pertama dikesan di Sydney pada Jun lalu kini merebak ke Melbourne dan Canberra, mencetuskan penularan terburuk di negara itu.

Sedang angka kes harian berada sekitar 2,000, yang agak rendah berbanding tahap global, pegawai bimbang akan ada lebih banyak kematian dan kemasukan ke hospital dengan hanya sekitar 42 peratus orang berusia 16 dan ke atas diberi vaksin sepenuhnya.

Sebanyak 473 kes setempat baru dikesan di Victoria, Melbourne, meningkat daripada 392 kes kelmarin.

Jumlah kes di Australia berjumlah sekitar 73,600 jangkitan termasuk 1,091 kematian, walaupun kadar kematian dalam penularan terbaru lebih rendah berbanding tahun lalu. - AGENSI

Berita Harian X