Rabu, 30 September 2020 | 12:45pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Dana AS$12 bilion bantu negara miskin dapatkan vaksin

WASHINGTON: Dunia semalam meminta lembaga pengarahnya meluluskan dana sebanyak AS$12 bilion (RM49.90 bilion) untuk membantu negara miskin membeli dan mengagihkan vaksin bagi menangani krisis COVID-19.

Bank Dunia telah melaksanakan program tindak balas kecemasan di 111 negara dan sekiranya diluluskan, baki daripada dana itu disasarkan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

"Vaksin COVID-19 yang efektif adalah perkara yang paling penting bagi membolehkan pembukaan semula dunia secara selamat.

"Ekonomi global tidak akan pulih sepenuhnya sehingga masyarakat mampu untuk hidup, bersosial, kerja dan mengembara dengan yakin," kata jurucakap Bank Dunia.

Katanya, dana itu akan diagihkan bagi tempoh 12 hingga 18 bulan.

Walaupun vaksin COVID-19 masih belum boleh didapati secara komersial, Presiden Bank Dunia, David Malpass, berkata proses pengagihannya akan akan merumitkan.

Justeru, amat penting untuk menjangkakan keperluan berkaitan vaksin COVID-19 khususnya bagi membantu negara miskin.

"Kami mahu negara miskin juga mendapat akses kepada vaksin khususnya mereka yang berisiko dan petugas kesihatan," katanya.

Bank Dunia telah mengeluarkan sebanyak AS$45 bilion (RM187 bilion) bantuan kewangan antara April dan Jun susulan ekonomi global berdepan cabaran penularan pandemik COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X