Rabu, 30 September 2020 | 9:01am

WHO siasat isu eksploitasi seksual dalam kalangan pekerjanya

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan sedang menyiasat dakwaan eksploitasi dan penderaan seksual berkaitan usaha memerangi Ebola di Republik Demokratik Congo.

WHO berkata, kepemimpinan dan kakitangannya "berang" dengan laporan terbaru mengenai penderaan seksual oleh individu yang dikaitkan bekerja dengan badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam memerangi Ebola.

"Tindakan yang didakwa dilakukan oleh individu yang memperkenalkan diri mereka bekerja untuk WHO itu tidak dapat diterima dan akan disiasat dengan tegas.

"Pengkhianatan terhadap penduduk yang menerima perkhidmatan kami adalah sesuatu yang tidak wajar.

"WHO tidak bertolak ansur dengan tingkah laku sedemikian bagi mana-mana kakitangan, kontraktor atau rakan kongsi kami," kata WHO dalam satu kenyataan.

WHO berkata, sekiranya ada individu yang didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman setimpal termasuk diberhentikan serta merta.

Bagaimanapun, WHO tidak menjelaskan secara khusus mengenai tuduhan itu dan hanya mengeluarkan kenyataan selepas satu laporan penyiasatan oleh The New Humanitarian mendedahkan lebih 50 wanita mendakwa pekerja bantuan Ebola dari WHO dan organisasi bukan kerajaan terkemuka melakukan eksploitasi seksual, termasuk memaksa mereka untuk melakukan hubungan seks sebagai habuan untuk mendapatkan pekerjaan.

WHO turut memaklumkan, Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus telah menjalankan penelitian secara menyeluruh berhubung dakwaan itu.

Pada Jun lalu, WHO mengesahkan Congo berdepan satu lagi krisis kesihatan iaitu penularan wabak Ebola, sekali gus menambah satu lagi masalah kesihatan yang sedang melanda negara berkenaan.

Dalam pada itu, sehingga kini Congo belum mengisytiharkan secara rasmi bahawa wabak Ebola sudah tamat di timur negaranya di mana lebih 2,000 maut sejak Ogos 2018. - AFP

Berita Harian X