Selasa, 29 September 2020 | 2:08pm
China dijangka mencatat pertumbuhan dua peratus tahun ini, didorong perbelanjaan kukuh kerajaan, eksport yang kukuh dan kadar jangkitan baharu COVID-19 yang rendah sejak Mac. - Foto AFP
China dijangka mencatat pertumbuhan dua peratus tahun ini, didorong perbelanjaan kukuh kerajaan, eksport yang kukuh dan kadar jangkitan baharu COVID-19 yang rendah sejak Mac. - Foto AFP

Jutaan di Asia Tenggara dan Pasifik miskin tahun ini - Bank Dunia

WASHINGTON: Kadar kemiskinan di Asia Tenggara dan Pasifik akan meningkat tahun ini untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun, akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan penduduk miskin dan mewujudkan golongan miskin baharu, kata Bank Dunia hari ini.

Walaupun nasib China akan lebih baik berbanding negara jirannya, rantau itu secara keseluruhannya dijangka hanya mencatat pertumbuhan pada kadar 0.9 peratus tahun ini, kadar terendah sejak 1967, kata pemberi pinjaman pembangunan antarabangsa yang berpusat di Washington, dalam laporan kemas kini ekonomi terbaharunya.

China dijangka mencatat pertumbuhan pada kadar dua peratus tahun ini, didorong perbelanjaan kukuh kerajaan, eksport yang kukuh dan kadar jangkitan baharu yang rendah sejak Mac, namun wilayah lain kemungkinan menyusut sebanyak 3.5 peratus.

Dalam laporan itu, Bank Dunia meneliti bagaimana negara membangun di wilayah itu dilanda "kejutan tiga kali ganda" akibat pandemik berkenaan, langkah membendung dan kemelesetan global, serta menyarankan perubahan bagi mengurangkan impak terhadap golongan miskin dan pertumbuhan wilayah.

"Walaupun kemusnahan yang disebabkan COVID-19 diketahui umum, perkara yang kurang diakui ialah apa yang berlaku kepada ekonomi hari ini dan pertumbuhan pada hari esok akan kurang bergantung kepada virus, berbanding bagaimana kerajaan bertindak," kata ketua ekonomi Bank Dunia untuk Asia Timur dan Pasifik, Aaditya Mattoo kepada wartawan dalam taklimat, semalam.

"Tanpa perubahan yang bermakna, kadar pertumbuhan mampu mencapai sehingga kadar satu peratus lebih rendah setiap tahun dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan sebahagian impak besar dirasai golongan miskin," katanya.

Laporan itu menganggarkan terdapat sehingga 38 juta orang lagi yang hidup dalam kemiskinan di rantau ini pada tahun ini, yang ditakrifkan sebagai mereka yang hidup dengan kurang daripada AS$5.50 (RM22.90) sehari pada kadar kesaksamaan kuasa membeli pada 2011.

Mereka termasuk 33 juta orang yang akan keluar daripada kemiskinan dan lima juta yang keluar, namun kembali ditolak ke dalam kemiskinan akibat pandemik itu serta kesannya.

Tidak seperti tempat lain di rantau ini, kemiskinan di China dijangka berkurangan sebanyak 8.1 juta kepada 9.6 juta orang tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah itu jauh lebih rendah daripada kira-kira 25 juta orang yang akan keluar daripada kemiskinan jika bukan kerana pandemik itu.

"Penyakit, pengangguran dan penutupan sekolah boleh menyebabkan penghakisan modal insan dan kerugian yang akan berpanjangan seumur hidup," kata Bank Dunia dalam laporannya.

Dianggarkan, berikutan penutupan sekolah akibat COVID-19, rata-rata pelajar di rantau itu akan berdepan pengurangan empat peratus bagi jangkaan pendapatan setiap tahun dalam kehidupan kerja mereka.

Laporan dua kali setahun itu memberi fokus kepada hampir 20 negara membangun di rantau ini, termasuk Kemboja, China, Indonesia, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Papua New Guinea, Filipina, Thailand, Timor-Leste, Vietnam, dan 11 negara Pulau Pasifik.

Ia sebelum ini dikeluarkan pada April. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X