Isnin, 28 September 2020 | 1:32pm
Pemilik taman tema Dreamworld di Gold Coast didenda AS2.5 juta kerana kegagalan keselamatan yang menyebabkan kematian empat pengunjung. - Foto AFP
Pemilik taman tema Dreamworld di Gold Coast didenda AS2.5 juta kerana kegagalan keselamatan yang menyebabkan kematian empat pengunjung. - Foto AFP

Pemilik taman tema Australia didenda jutaan dolar sebabkan kematian pengunjung

BRISBANE, AUSTRALIA: Pemilik taman tema terbesar di Australia didenda Aus$3.6 juta (AS$2.5 juta) (RM10.42 juta) pada Isnin kerana kegagalan keselamatan pada permainan air yang menyebabkan kematian empat pengunjung pada 2016.

Dua wanita dan dua lelaki maut akibat rakit bertembung di Thunder River Rapids di Dreamworld di Gold Coast, menyebabkan pendakwa raya mengemukakan tiga tuduhan terhadap pemilik, Ardent Leisure pada Jun.

Mahkamah Queensland mendapati syarikat itu melanggar peraturan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja tetapi menghentikan penalti maksimum Aus$4.5 juta.

Ardent Leisure mengatakan bahawa ia mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf "tanpa syarat" dalam satu kenyataan kepada Bursa Sekuriti Australia.

Ahli lembaga syarikat dan pegawai eksekutifnya merakamkan simpati kepada keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga serta penderitaan berterusan akibat tragedi itu.

Syarikat yang berdepan kritikan hebat apabila berusaha membuka semula perniagaan sebelum upacara pengebumian dilakukan itu mengatakan kepemimpinan baharu mendorong "baik pulih lengkap" terhadap prosedur keselamatan di taman tema.

Ardent Leisure mengatakan pihaknya membayar ganti rugi kepada "majoriti" keluarga, responden pertama dan individu lain yang terkesan akibat tragedi itu dan sedang berusaha untuk menyelesaikan tuntutan yang belum selesai. - AFP

Berita Harian X