Isnin, 28 September 2020 | 12:40pm
Ubat semburan hidung INNA-051 akan diuji ke atas manusia dalam tempoh kurang empat bulan. - Foto hiasan AFP
Ubat semburan hidung INNA-051 akan diuji ke atas manusia dalam tempoh kurang empat bulan. - Foto hiasan AFP

Firma Australia dakwa INNA-051 kurangkan pertumbuhan coronavirus

SYDNEY: Syarikat bioteknologi Australia, Ena Respiratory mendakwa semburan hidung yang dibangunkannya bagi menambah baik sistem imunisasi manusia bagi melawan selesema biasa dan demam selesema secara signifikan mengurangkan pertumbuhan coronavirus, berdasarkan satu kajian terhadap haiwan baru-baru ini.

Satu kajian terhadap musang menunjukkan produk yang dinamakan INNA-051, yang dapat digunakan sebagai pelengkap vaksin, menurunkan kadar virus yang menyebabkan COVID-19 sehingga 96 peratus, kata syarikat itu.

Kajian itu diketuai agensi kerajaan Britain, Public Health England.

Ena Respiratory berkata, ia bersedia untuk menguji INNA-051 ke atas manusia dalam masa kurang empat bulan, tertakluk kepada kejayaan kajian ketoksikan dan kelulusan peraturan.

Syarikat itu memperoleh A$11.7 juta (AS$8.24 juta) bagi pembangunan semburan itu.

Pelaburnya termasuk firma modal teroka, Brandon Capital; kerajaan persekutuan Australia; dana pencen dan gergasi bioteknologi, CSL.

Beberapa syarikat di seluruh dunia sedang dalam usaha membangunkan vaksin coronavirus.

Australia memasuki perjanjian dengan beberapa syarikat ubat yang melabur berbilion bagi mendapatkan vaksin yang berpotensi untuk COVID-19, yang membunuh lebih sejuta orang di seluruh dunia.

Australia setakat ini melaporkan 875 kematian dan baru saja melebihi 27,000 kes jangkitan, jauh lebih rendah daripada angka yang dilaporkan di negara maju lain.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X