Isnin, 28 September 2020 | 10:20am
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP

New Zealand dijangka benarkan rakyatnya ke Australia sebelum Krismas

WELLINGTON: New Zealand dijangka membuka pintu sempadan sebelum akhir tahun ini apabila perjalanan antara negara itu dan beberapa negeri di Australia akan dibenarkan, kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada Isnin.

Perancangan gelembung perjalanan atau 'travel bubble' antara Australia dan New Zealand dibincangkan sejak beberapa bulan lalu apabila kes COVID-19 di kedua-dua negara semakin perlahan.

Bagaimanapun rundingan itu terganggu selepas peningkatan mendadak di Melbourne, Australia diikuti gelombang kedua jangkitan di Auckland.

Berikutan usaha membendung virus dilihat berjaya di New Zealand dan kes semakin berkurangan di wilayah Australia, rundingan mengenai gelembung perjalanan disemak semula.

Menjawab soalan stesen penyiar tempatan, TVNZ sama ada rakyat New Zealand boleh melakukan perjalanan ke beberapa negeri di Australia sebelum sambutan Krismas, Ardern berkata: "Ia berkemungkinan."

Ardern berkata Australia berpuas hati dengan prestasi kedua-dua negara dalam usaha membendung COVID-19.

Sehingga kini, New Zealand hanya merekodkan 59 kes aktif dan 1,477 kes jangkitan yang disahkan. - AGENSI

Berita Harian X