Sabtu, 26 September 2020 | 12:36pm
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, menyampaikan ucapan secara maya pada Perhimpunan Agung PBB. - Foto AFP
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, menyampaikan ucapan secara maya pada Perhimpunan Agung PBB. - Foto AFP

Sejarah 'menghakimi teruk' jika tak kongsi vaksin - PM Australia

NEW YORK: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan mana-mana negara yang membangunkan vaksin COVID-19 supaya berkongsi secara universal, kerana sejarah akan menghakimi dengan teruk negara yang enggan berbuat demikian.

Morrison membuat rayuan itu di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berikutan sekutunya Amerika Syarikat (AS) menentang usaha global untuk berkolaborasi melalui pembangunan vaksin.

"Dalam isu berhubung vaksin, pandangan Australia sangat jelas iaitu siapa pun yang menjumpai vaksin itu mesti membahagikannya.

"Ini adalah tanggungjawab global dan tanggungjawab moral untuk vaksin dibahagikan kepada seluruh dunia.

"Sebilangan negara mungkin melihat keuntungan jangka pendek atau bahkan keuntungan semata-mata, tetapi saya jamin, kepada sesiapa sahaja yang mungkin berfikir seperti itu, manusia mempunyai ingatan yang sangat panjang dan akan menjadi hakim yang sangat, sangat berat," katanya.

Morrison berkata demikian dalam satu pesanan maya kepada PBB yang dirakamkan di hadapan bangunan ikonik Sydney Opera House.

Beliau berikrar bahawa Australia akan berkongsi vaksin jika mengetahuinya dan menjanjikan sokongan kepada Covax, iaitu inisiatif PBB bertujuan menyediakan dua bilion dos vaksin yang siap diedarkan pada akhir 2021.

AS, China dan Russia melancarkan vaksinnya sendiri dan tidak memberikan sokongan kepada Covax.

Pentadbiran Presiden Donald Trump memberikan notis bahawa AS akan menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mengatakan ia bersikap berat sebelah terhadap China, dan menolak untuk berjanji bagi berkongsi penyelidikan COVID-19, kerana bimbangkan pencerobohan harta intelek terhadap syarikat farmasi negara itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X