Sabtu, 26 September 2020 | 11:53am
Seorang lelaki kelihatan sedang menonton siaran televisyen ucapan Perdana Menteri Pakistan, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). - Foto AGENSI
Seorang lelaki kelihatan sedang menonton siaran televisyen ucapan Perdana Menteri Pakistan, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). - Foto AGENSI

PM Pakistan kecam kartun 'Islamofobia' Charlie Hebdo

NEW YORK: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengecam penerbitan kartun Nabi Muhammad SAW oleh mingguan satira Perancis, dengan mendesak usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentang apa yang disifatkan sebagai peningkatan terhadap Islamofobia.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dirakam, Imran berkata nasionalisme global yang meningkat "menonjolkan Islamofobia" di mana umat Islam "terus menjadi sasaran di banyak negara.

"Kejadian di Eropah termasuk penerbitan semula lakaran yang bersifat mencerca oleh Charlie Hebdo baru-baru ini adalah contoh.

"Kami menekankan bahawa provokasi dan hasrat untuk membenci serta keganasan yang disengajakan harus dilarang secara universal.

"Perhimpunan ini harus mengisytiharkan hari antarabangsa untuk memerangi Islamofobia dan membina gabungan untuk menentang golongan ini," katanya.

Charlie Hebdo, yang terkenal dengan kartun satira yang tidak bersopan dan kepercayaan mutlak terhadap kebebasan bersuara, berulang kali menimbulkan kemarahan dunia Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW.

Seramai 12 orang terbunuh dalam serangan oleh lelaki bersenjata beragama Islam di pejabat Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari 2015. - AFP

Berita Harian X