Sabtu, 26 September 2020 | 11:42am

Pemimpin Amerika Latin mohon vaksin percuma

NEW YORK: Pemimpin Amerika Latin meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memberikan akses percuma terhadap vaksin COVID-19 yang akan dihasilkan, mendesak kuasa besar untuk berkongsi pengetahuan mereka demi kesejahteraan global.

Amerika Latin teruk diserang COVID-19 dengan hampir sembilan juta kes dan lebih 330,000 kematian, iaitu satu pertiga dari jumlah global, menurut penghitungan AFP berdasarkan data rasmi.

"Dengan pandemik, sama seperti kemiskinan, tidak ada yang bersendirian akan terselamat," kata Presiden Argentina, Alberto Fernandez kepada Perhimpunan Agung PBB, yang berlangsung secara maya akibat krisis kesihatan.

Beliau meminta supaya vaksin COVID diisytiharkan sebagai "barang awam global."

Presiden Chile, Sebastian Pinera, merujuk pada persengketaan Amerika Syarikat (AS)-China berhubung virus itu, mendesak kuasa besar supaya mengakhiri "konfrontasi berterusan" dan "memimpin perang melawan pandemik itu dan kemelesetan global."

"Dari segi kesihatan, ini termasuk berkongsi solusi dan pengetahuan, mengkoordinasikan pembukaan dan penutupan sempadan, dan bergabung untuk pembangunan dan ketersediaan vaksin yang efektif dan selamat, sambil bekerja dengan negara-negara termiskin dan paling terjejas," katanya.

Puluhan vaksin berpotensi sedang dikaji di seluruh dunia tetapi hanya 11 yang telah mencapai ujian klinikal fasa-tiga, di mana ribuan orang mengambil bahagian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada akhir Mei menubuhkan platform untuk bertukar maklumat mengenai penyelidikan vaksin.

Namun, AS telah mengumumkan penarikan diri dari badan PBB itu, mengatakannya berat sebelah terhadap China, dan telah menolak seruan untuk berkongsi vaksin, menuduh pihak lain mencuri harta intelek.

China dan Russia - yang mencetuskan keraguan antarabangsa, telah melancarkan vaksin - juga tidak turut serta dalam inisiatif Covax global yang bertujuan untuk menjamin dua bilion dos vaksin pada akhir tahun 2021.

"Hanya menerusi cara ini kita dapat memiliki vaksin dan teknologi yang bebas dari paten yang dapat diedarkan secara adil dengan perhatian khusus kepada yang paling terjejas," kata Presiden Ecuador, Lenin Moreno, mengenai Covax.

Dalam ucapan mereka Perhimpunan Agung, pemimpin Amerika Latin juga meminta kredit tanpa faedah dari pemberi pinjaman antarabangsa dengan harapan dapat mengurangkan kesan ekonomi akibat krisis kesihatan.

Pandemik itu akan menjadikan ekonomi Amerika Latin dan Caribbean jatuh 9.1 peratus tahun ini dan menyebabkan 45 juta orang lagi ke terjerumus ke dalam kemiskinan, menurut unjuran PBB. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X