Jumaat, 7 Ogos 2020 | 8:37am
Melbourne melaksanakan peraturan lebih tegas bagi mencegah penularan COVID-19 yang terus meningkat walaupun sudah hampir sebulan melaksanakan perintah berkurung. - Foto AFP
Melbourne melaksanakan peraturan lebih tegas bagi mencegah penularan COVID-19 yang terus meningkat walaupun sudah hampir sebulan melaksanakan perintah berkurung. - Foto AFP

COVID-19: Kes global melepasi angka 19 juta

BERLIN: Kes COVID-19 di seluruh dunia melepasi angka 19 juta semalam, ketika negara-negara Eropah mengenakan sekatan perjalanan baharu dan langkah penahanan ekoran kebimbangan yang meningkat terhadap gelombang jangkitan kedua.

Angka global, yang disusun oleh AFP dari sumber rasmi semalam, didahului oleh lonjakan di Amerika Latin dan India - dan situasi terbaru di Afrika yang mana benua itu kini mencapai satu juta kes.

Kematian global akibat pandemik itu sudah melepasi 700,000 orang, dan Eropah kekal menjadi wilayah paling teruk dilanda virus dengan lebih 200,000 kematian sejak virus itu pertama kali muncul di China akhir tahun lalu.

Lebih separuh kes Afrika adalah di Afrika Selatan, yang mempunyai jumlah jangkitan kelima tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat (AS), Brazil, India dan Russia.

Begitupun, menurut angka rasmi, benua Afrika tetap menjadi yang paling terjejas, dengan hanya Oceania yang mencatat sedikit kes COVID-19.

Ketika pemerintah di seluruh dunia bergelut untuk menyelamatkan ekonomi yang dirosakkan oleh penutupan selama berbulan-bulan, banyak yang terpaksa mengenakan langkah-langkah baharu bagi untuk mengekang wabak COVID-19 sejak mereka menarik balik perintah sekatan yang awal.

Di Australia, bandar raya kedua terbesar iaitu Melbourne semalam memasuki perintah berkurung paling sukar di negara itu, menutup perniagaan yang tidak penting dan mengarahkan ratusan ribu orang untuk tinggal di rumah.

Pandemik itu telah membunuh sekurang-kurangnya 712,315 orang di seluruh dunia dengan AS Syarikat mencatatkan kematian tertinggi dengan hampir 160,000, diikuti Brazil dengan hampir 100,000. Di peringkat global, 40 peratus daripada semua kes direkodkan di kedua-dua negara.

Jerman adalah yang terbaru memperkenalkan ujian wajib ke atas pelancong yang kembali dari zon risiko yang ditentukan, mulai Sabtu, kerana kebimbangan semakin meningkat ekoran meningkatnya jumlah kes yang dikatakan berpunca akibat cuti musim panas dan wabak tempatan.

Senarai 'zon risiko' Jerman pada masa ini merangkumi kebanyakan negara bukan Kesatuan Eropah (EU), serta wilayah tertentu di Belgium dan Sepanyol.

Jirannya, Austria semalam mengumumkan akan mengeluarkan amaran perjalanan darat ke Sepanyol, menjadi negara terbaru yang melakukannya di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan anggota EU.

Finland juga memperkenalkan kawalan baharu terhadap kedatangan dari beberapa negara EU, termasuk Belgium, Belanda dan Andorra, melarang pelancong yang tiba dari sana dan mengenakan kuarantin 14 hari pada mereka yang kembali dari negara lain. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X