Jumaat, 15 Mei 2020 | 4:16pm

PBB tolak undian secara elektronik anggota Majlis Keselamatan

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Perhimpunan Agung PBB (UNGA) akan mengundi secara individu bagi memilih lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB yang baharu, sekali gus mengetepikan undian secara elektronik meskipun dunia dilanda pandemik COVID-19.

Dalam surat kepada anggota PBB yang diperoleh AFP, Presiden UNGA, Tijjani Muhammad-Bande, memaklumkan anggota yang mengundi akan dijemput ke lokasi undian pada waktu tertentu yang akan dimaklumkan lebih awal.

Mexico dan India sudah dijamin tempat dalam Majlis Keselamatan apabila masing-masing menjadi wakil tunggal Amerika Latin dan Asia.

Ireland, Norway dan Kanada perlu bersaing antara satu sama lain untuk baki dua kerusi, manakala Kenya dan Djibouti akan merebut kerusi tunggal untuk Afrika.

Undian itu dijadualkan pada 17 Jun depan, namun surat berkenaan hanya menyebut Jun, bererti perubahan tarikh berkemungkinan dilaksanakan bergantung pada situasi semasa.

Menurut surat itu, 193 anggota UNGA akan mengundi secara rahsia tanpa sidang pleno. Meskipun lokasi tidak dinyatakan, sesi undian itu mungkin akan diadakan di ibu pejabat PBB.

Sejak beberapa minggu sebelum ini, anggota UNGA menyatakan kebimbangan bahawa undi rahsia mereka mungkin didedahkan atau penipuan elektronik akan berlaku, kata seorang diplomat yang enggan didedahkan kepada AFP.

Negara yang bersaing merebut kerusi Majlis Keselamatan melakukan pelbagai perkara untuk meraih undi, antara pada 2018, Ireland cuba mendapatkan sokongan dengan memberi jemputan ke konsert kumpulan rock Irish, U2.

Sebelum ini, The Globe and Mail melaporkan Kanada cuba melakukan perkara sama menerusi konsert oleh Celine Dion di Brooklyn pada Mac lalu, namun konsert itu dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X