Jumaat, 24 April 2020 | 4:05pm
Tom Hanks bersama isteri, Rita Wilson. - FOTO AFP
Tom Hanks bersama isteri, Rita Wilson. - FOTO AFP

COVID-19: Tom Hanks tulis surat, kirim mesin taip jenama Corona

SYDNEY: Aktor terkenal, Tom Hanks, menulis surat dan mengirim sebuah mesin taip berjenama Corona kepada seorang kanak-kanak lelaki yang mengadu dibuli kerana namanya ialah Corona.

Corona De Vries, 8, kali pertama menulis surat kepada pelakon Toy Story itu dan isterinya, Rita Wilson, selepas pasangan berkenaan dijangkiti COVID-19 ketika berada di Queensland, Australia.

"Saya mendapat tahu anda berdua dijangkiti COVID-19. Adakah kamu okey?

"Saya suka nama ini tetapi sedih dan marah apabila orang di sekolah mengejek serta memanggil saya 'coronavirus'," katanya dalam surat itu.

Hanks kemudian membalas surat itu yang bermula dengan kata-kata mesra, 'Menemui sahabatku, Corona'.

"Surat anda membuatkan saya dan isteri berasa amat gembira! Terima kasih kerana menjadi rakan yang baik - sahabat sejati akan membuatkan kita gembira apabila dilanda kesedihan," tulis aktor berkenaan dalam surat itu.

Hanks dan Wilson kini berada di Amerika Syarikat (AS) selepas mengambil masa tiga minggu untuk pulih daripada jangkitan COVID-19 ketika berada di Gold Coast, Mac lalu.

Pemenang Anugerah Oscar berkenaan berkata, De Vries adalah satu-satunya individu yang beliau tahu memiliki nama unik itu.

"Nama anda seperti cincin yang mengelilingi matahari, sebuah mahkota," katanya.

Selain surat, De Vries turut bertuah kerana menerima mesin taip berjenama Corona yang digunakan Hanks ketika berada dalam kuarantin di bandar terbabit.

"Mesin taip ini amat sesuai dengan anda. Saya mahu anda belajar cara untuk menggunakannya dan mengirimkan surat kepada saya," katanya.

Keluarga De Vries ketika dihubungi media tempatan memaklumkan, kanak-kanak itu amat teruja kerana memiliki kenalan baharu dari AS. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X