Rabu, 1 April 2020 | 12:59pm
Keldai membawa barang di atas jambatan menuju Bazar Namche, tempat terakhir sebelum gunung Everest. Pekan Khumjung biasanya ramai pengunjung tetapi kini lenggang berikutan penularan COVID-19. Foto AFP
Keldai membawa barang di atas jambatan menuju Bazar Namche, tempat terakhir sebelum gunung Everest. Pekan Khumjung biasanya ramai pengunjung tetapi kini lenggang berikutan penularan COVID-19. Foto AFP

COVID-19 krisis global terburuk sejak Perang Dunia Kedua - WHO

NEW YORK: COVID-19 yang kini menjadi wabak adalah krisis global terburuk sejak Perang Dunia Kedua, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Sambil memberi amaran bahawa pandemik itu akan mencetuskan lebih banyak konfik di seluruh dunia, Guterres berkata skala krisis bergantung kepada sejauh mana virus boleh mengancam setiap orang di dunia, selain impak ekonomi yang boleh membawa kepada kemelesetan.

"Kombinasi dua fakta ini dan risiko susulannya, ia boleh membawa kepada ketidakstabilan, menambah kekacauan dan konflik adalah perkara yang kita fikir ia (COVID-19) adalah krisis paling mencabar pernah kita hadapi sejak Perang Dunia Kedua,” katanya kepada pemberita hari ini.

PBB yang berpangkalan di New York ditubuhkan pada penghujung Perang Dunia Kedua pada 1945 yang sehingga kini dianggotai 193 negara.

"Justeru tindak-balas lebih berkesan dan tegas adalah hanya dengan bersolidariti, jika semua orang bersatu dan jika kita mengetepikan mainan politik dan memahami apa itu erti kemanusiaan, kita akan mengatasinya,” katanya.

Lebih 40,000 orang sudah terkorban setakat ini apabila coronavirus baharu itu merebak di seluruh dunia sehingga menyebabkan kegawatan ekonomi.

“Kita agak perlahan kepada tindakan yang betul menangani virus ini dan kita perlu lebih pantas lagi dan kita perlu melakukan banyak tindakan sekiranya kita mahu menewaskan virus ini,” katanya.

PBB semalam menubuhkan satu tabung baharu untuk membantu negara sedang membangun, selepas berbuat demikian untuk negara miskin dan sedang dilanda konflik, minggu lalu.

Guterres turut memberi amaran wabak coronavirus akan muncul dari negara miskin, terutama Afrika dan akan menyerang negara kaya yang boleh menyebabkan jutaan nyawa terkorban.

Amaran terbaharu PPB itu dibuat susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa rakyat negara itu akan menempuh minggu-minggu yang sukar dengan jumlah kematian harian tertinggi semalam.

Wabak COVID-19 di AS menunjukkan kematian 865 kes hingga lewat malam tadi.

Johns Hopkins University menjelaskan jumlah kematian di AS ialah 3,873 pada 8.30 malam Selasa, berbanding 3,008 kes pada 8.30 malam Isnin lalu.

Dianggarkan separuh daripada penduduk dunia dikenakan perintah berkurung selepas kira-kira 840,000 orang sudah dijangkiti. - AFP

Berita Harian X