X
Khamis, 26 March 2020 | 3:51pm
Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics Co.
Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics Co.

COVID-19: Permintaan ventilator dunia meningkat 10 kali ganda

SHANGHAI: Peningkatan mendadak jumlah pesakit kritikal akibat jangkitan COVID-19 menyebabkan permintaan terhadap ventilator meningkat 10 kali ganda daripada apa yang ada di hospital di seluruh dunia, menurut pembuat peranti perubatan terkemuka China.

Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics Co bersama pembuat ventilator China menyaksikan permintaan di luar negara melonjak memandangkan ia sangat diperlukan di unit rawatan rapi selain bagi kes teruk, ventilator itu penting untuk memastikan kelangsungan hidup pesakit.

Jumlah kematian di seluruh dunia kini melepasi 18,000 kematian, manakala doktor dari Milan hingga ke New York terdesak memiliki ventilator ini khususnya pesakit kritikal.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi laluan kepada pembuat mesin ini seperti Tesla Inc untuk menghasilkan ventilator bagi mengatasi kekurangan.

Secara keseluruhannya di AS, Persatuan Perubatan Penjagaan Kritikal menganggarkan 960,000 pesakit memerlukan sokongan ventilator ini, namun negara hanya mempunyai sekurang-kurangnya 200,000 mesin sahaja, manakala di Itali negara paling terjejas akibat pandemik ini memaksa doktor mengenalpasti hanya pesakit kritikal didahulukan.

Mindray yang menghasilkan kira-kira 3,000 ventilator sebulan kini terpaksa melambatkan tempahan domestik semata-mata untuk mengutamakan negara luar yang begitu memerlukan ketika ini.

Penghasilan alat monitor pesakit bagi mengesan keadaan kritikal juga meningkat hampir tiga kali ganda sejak tahun lalu dengan kini Mindray menghasilkan kira-kira 30,000 monitor sebulan. - BLOOMBERG

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X