Jumaat, 6 March 2020 | 12:38pm

Lelaki dijangkiti COVID-19 hadir konsert rock

WELLINGTON: Pihak berkuasa kesihatan New Zealand hari ini mendedahkan, seorang lelaki disahkan dijangkiti COVID-19 telah menghadiri satu konsert rock yang dipenuhi ribuan penonton.

Lelaki berusia 30-an itu adalah rakan kepada seorang wanita yang turut disahkan dijangkiti virus berkenaan, minggu ini, dan menghadiri konsert Tool di Spark Arena, Auckland pada 28 Februari lalu.

Konsert rock di bandar terbesar New Zealand itu padat dengan penonton selama dua hari, minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Ashley Bloomfield, memaklumkan bahawa lelaki itu berada di kawasan berdiri kemasukan umum di kuadran hadapan sebelah kiri pada konsert berkenaan.

“Kami menggalakkan mereka yang berada di kawasan berdiri kemasukan umum itu supaya peka dengan sebarang simptom COVID-19,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun, Bloomfield berkata, risiko jangkitan adalah rendah bagi semua penonton lain yang menghadiri konsert itu.

Lelaki terbabit sudah dikuarantin di rumah sejak kelmarin. Dia bersama rakannya itu dilaporkan pulang dari utara Itali, baru-baru ini.

New Zealand mengesahkan empat jangkitan virus itu, setakat ini, jauh lebih rendah berbanding Australia yang sudah merekodkan 60 kes dan kematian dua warga emas.

Negara ini melanjutkan sekatan perjalanan terhadap individu yang tiba dari China dan Iran dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Virus tercetus di China pada akhir tahun lalu itu kini merebak ke lebih 80 negara, selain telah meragut lebih 3,300 nyawa dan menjangkiti lebih 96,500 orang. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X