Khamis, 5 March 2020 | 6:06pm
Gambar fail, serpihan bangkai pesawat MH17 yang ditembak jatuh di padang berhampiran perkampungan Grabove di daaerah Donetsk pada Julai 2014. - Foto AFP
Gambar fail, serpihan bangkai pesawat MH17 yang ditembak jatuh di padang berhampiran perkampungan Grabove di daaerah Donetsk pada Julai 2014. - Foto AFP

Perbicaraan untuk keadilan keluarga MH17

THE HAGUE: Kerajaan Belanda akan meletakkan empat orang wakil negaranya bagi menghadiri perbicaraan kes tembak jatuh pesawat MH17 yang dijadual berlangsung minggu depan di negara itu, meskipun tanpa tertuduh di kandang pesalah.

Pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh dan hancur angkara roket buatan Russia milik pemberontak pro-Moscow di timur Ukraine itu mengorbankan 289 penumpang serta anak kapal dan waris sudah menunggu lebih lima tahun lalu untuk melihat mereka yang bertanggungjawab didakwa.

Tahun lalu, Belanda membuat pertuduhan pertama tanpa kehadiran empat suspek utama masing-masing Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov iaitu warga Russia serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.

Menurut Ketua Yayasan Mangsa MH17, Piet Ploeg yang kehilangan abang, kakak dan anak buahnya berkata, perbicaraan itu sangat penting untuk waris yang terkorban.

“Kami mahu mendengar apa, bagaimana ia terjadi serta penjelasan Russia. Saya yakin dan berharap mendapat jawapan terhadap penantian kira-kira lima tahun setengah ini,” katanya.

Waris mangsa dibenarkan mengikuti perbicaraan dalam kamar mahkamah sementara petugas media ditempatkan di luar yang mana dijangka menarik lebih 400 wartawan seluruh dunia.

Kejadian pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan paling ramai warga Belanda iaitu 196 orang, disifatkan paling tragik dengan penumpang masih berada di kerusi masing-masing dengan lengkap memakai tali pinggang keselamatan.

Penyiasat mendakwa peluru berpandu BUK itu disasarkan dari wilayah bergolak, dikatakan milik Russia sementara Belanda dan Australia mengatakan Moscow adalah pihak bertanggungjawab di mana Russia sekian lama menafikan pembabitannya.

Semalam, jurucakap Dmitry Peskov, berkata, pihaknya sentiasa mempersoalkan perkembangan pasukan penyiasatan, berikutan mereka dilarang untuk turut serta di dalamnya.

Sementara itu penolong profesor undang-undang antarabangsa di Vrije Universiteit Amsterdam, berkata kehadiran keluarga pada perbicaraan itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka mengikuti perbicaraan mahkamah sama ada diteruskan atau kemungkinan kes ditutup.

Dalam perkembangan lain, pendakwa mengatakan suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pemisah dan berperanan membawa peluru berpandu itu ke Ukraine meskipun mereka tidak menjadi pencetus.

Perbicaraan itu dijangka memakan masa bertahun-tahun lamanya, kata Ploeg. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X