Selasa, 25 Februari 2020 | 8:18am
LAKARAN ketika perbicaraan kes serangan seksual dan rogol Weinstein (kiri) di dalam mahkamah. - Foto REUTERS
LAKARAN ketika perbicaraan kes serangan seksual dan rogol Weinstein (kiri) di dalam mahkamah. - Foto REUTERS

Rogol dan serangan seksual, Weinstein dipenjara 29 tahun

NEW YORK : Harvey Weinstein disabitkan dengan kesalahan merogol dan serangan seksual, Isnin namun dibebaskan dari tuduhan lebih berat, satu keputusan yang dianggap kejayaan bersejarah bagi kempen #MeToo, iaitu gerakan menentang salah laku seksual.

Lelaki berusia 67 itu kini direman di penjara Rikers Island di New York, selepas barisan tujuh juri lelaki dan lima wanita mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan, masing-masing membabitkan salah laku seksual darjah pertama dan rogol darjah ketiga.

Weinstein, pemenang anugerah Oscar yang juga penerbit filem ‘Shakespeare in Love’, bagaimanapun didapati tidak bersalah untuk rogol darjah pertama dan serangan seksual, dua tuduhan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Tertuduh bagaimanapun dikenakan hukuman penjara sehingga 29 tahun susulan dua sabitan berkenaan.

Weinstein yang menghadiri perbicaraan menggunakan alat bantuan berjalan hanya menunjukkan sedikit emosi selepas keputusan dijatuhkan.

Dia akan ditahan sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman yang dijadualkan pada 11 Mac nanti.

Peguamnya, Arthur Aidala berkata, tertuduh kelihatan ‘terkejut’ dengan hukuman berkenaan dan berulang kali menegaskan bahawa dia tidak bersalah.

“Saya tidak bersalah. Saya tidak bersalah. Bagaimana semua ini boleh berlaku di Amerika,” ujar Arthur, memetik Weinstein sebagai berkata.

Ketua pembela, Donna Rotunno pula berjanji akan memfailkan rayuan dan berkata, perjuangan membebaskan Weinstein masih belum berakhir, malah memuji anak guamnya kerana bersikap seperti seorang lelaki sejati ketika menerima hukuman dijatuhkan mahkamah.

Kes membabitkan Weinstein adalah yang paling berprofil tinggi, selepas aktor Bill Cosby didapati bersalah pada 2018 kerana memberi dadah dan menyerang secara seksual seorang wanita, 15 tahun sebelumnya. - AFP

Berita Harian X