Jumaat, 15 November 2019 | 12:19pm
Buku tulisan Behrouz Boochani, No Friend but the Mountains. Foto Agensi

Penulis buku menerusi WhatsApp, Behrouz Boochani kongsi kisah di New Zealand

WELLINGTON: Pelarian keturunan Kurdis-Iran, yang menulis buku menggunakan telefon bimbit ketika berada di kem tahanan Australia, meraikan ‘pembebasannya’ setibanya di Christchurch, hari ini.

Behrouz Boochani, 35, berada di Christchurch bagi menghadiri festival kesusasteraan dan membincangkan buku tulisannya, ‘No Friend but the Mountains’ yang dihantar kepada penerbit, menerusi WhatsApp.

Beliau menghabiskan masa selama lebih enam tahun di kem tahanan Australia di pulau Manus, Papua New Guinea, selepas ditahan di perairan Australia pada 2013, bersama pemohon suaka lain di dalam sebuah bot.

Buku tulisan Behrouz berjaya meraih pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Victoria bagi Kesusasteraan, iaitu penghormatan tertinggi kesusasteraan di Australia.

Ia berkisar mengenai kisah perjalanannya dari Indonesia menuju Australia, selain menceritakan secara terperinci kehidupan, kematian dan kesusahan yang dihadapi golongan pelarian.

“Buat kali pertama saya berasa gembira kerana saya terselamat,” kata Behrouz kepada akhbar Guardian, sebaik sahaja tiba di New Zealand, menggunakan pasport Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), serta visa pelawat New Zealand tajaan Amnesty International.

Behrouz berkata, beliau juga amat gembira kerana berpeluang berada di Christchurch, yang berjaya ‘mendidik dunia’ mengenai kebaikan dan sifat kemanusiaan, susulan serangan ke atas dua masjid pada Mac lalu.

Dalam pada itu, ketika bercakap dengan Radio New Zealand, beliau berkata, permohonan suaka di negara itu bukanlah sesuatu yang perlu disegerakan, kerana berkongsi kisahnya adalah tumpuan utamanya ketika ini.

“Ini adalah kali pertama saya bebas melakukan sesuatu, sebab itulah saya memilih untuk tidak membincangkan perkara itu (suaka).

“Saya fikir ia akan mengambil masa untuk saya memahami makna kebebasan dan benar-benar memahami bahawa saya seorang lelaki yang bebas.

“Jadi, buat sementara waktu, saya mahu berada di sini, dan kemudian baharulah saya akan meneliti perkara itu (suaka), kerana saya sudah diterima di Amerika Syarikat.

“Namun, ketika ini, saya mahu memberi tumpuan kerana kisah ini (buku) dan berkongsi cerita ini dengan orang ramai,” katanya. - AFP

Berita Harian X