Khamis, 19 September 2019 | 11:40pm
RIBUT tropika Humberto bergerak ke utara di Atlantik, hari ini. - Foto AFP

28,000 penduduk Bermuda bergelap angkara ribut tropika Humberto

BERMUDA: Ribut tropika Humberto bergerak ke utara di Atlantik hari ini selepas menerbangkan bumbung rumah dan menyebabkan lebih 28,000 penduduk terputus bekalan elektrik, dekat sini.

Pegawai berkata, tiada laporan kemalangan jiwa berlaku, tetapi penduduk digesa supaya berada dalam rumah atas faktor keselamatan.

“Kami sudah melalui malam yang sangat mencabar,” kata Menteri Keselamatan Negara, Waine Caines yang dipetik akhbar Royal Gazzete.

Syarikat bekalan tenaga elektrik Bermuda, Belco berkata, kira-kira 28,000 pelanggannya terputus bekalan kuasa kerana ribut itu.

Peramal cuaca berkata, Humberto yang melanda pulau kecil di wilayah British itu dengan membawa angin kuat sehingga menerbangkan beberapa bumbung rumah, sebelum beransur pulih malam semalam.

Sementara itu, Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang beribu pejabat di Miami memberi amaran bahawa banjir di persisiran pantai berkemungkinan berlaku di sepanjang pantai Bermuda selain ombak besar mungkin berlaku dari Florida hingga ke Carolina Utara.

Sehingga jam 9 pagi waktu tempatan, Humberto berada pada jarak 400 kilometer di timur laut Bermuda.

Bagaimanapun, ia masih Kategori 3 dengan kelajuan angin mencecah 125 kilometer sejam. -AFP

Berita Harian X