Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:02pm
PENYELIDIK Muzium Canterbury, (dari kiri) Vanesa De Pietri, Paul Scofield dan Gerald Mayr memeriksa fosil corssvallia waiparensis. - Foto AFP

Fosil penguin gergasi ditemui di New Zealand

WELLINGTON: Fosil penguin gergasi bersaiz hampir sebesar manusia dewasa dijumpai di Pulau Selatan New Zealand, kata kumpulan saintis, hari ini.

Kumpulan saintis itu mengesahkan burung gergasi laut itu memiliki ketinggian sehingga 1.6 meter dan seberat 80 kilogram, kira-kira empat kali ganda lebih berat dan 40 sentimeter lebih tinggi berbanding penguin Maharaja moden.

Mereka menamakannya ‘corssvallia waiparensis’ dan spesies burung itu kerap diburu di pantai New Zealand ketika era Paleosen, kira-kira 66 hingga 56 juta tahun lalu.

Pemburu fosil amatur menjumpai tulang kaki milik mamalia itu tahun lalu dan ia disahkan sebagai spesis baharu dalam penyelidikan yang diterbitkan minggu ini di dalam ‘Alcheringa: An Australasian Journal of Palaeontology’.

Penyelidik Muzium Canterbury, Vanesa De Pietri berkata ia adalah kali kedua penguin gergasi dari era Paleosen dijumpai di kawasan terbabit.

“Penemuan ini memperkukuhkan lagi teori kami, bahawa penguin mampu mencapai saiz yang lebih besar dalam evolusi mereka,” katanya.

Ada dalam kalangan saintis sebelum ini membuat spekulasi, penguin bersaiz gergasi pupus kerana kemunculan pemangsa besar lain seperti anjing laut dan ikan paus bergigi.

New Zealand sangat terkenal dengan burung gergasi yang pupus, termasuk burung moa yang tidak mampu terbang, dengan ketinggian mencapai 3.6 meter dan helang Haast yang memiliki lebar sayap sehingga tiga meter.

Pada minggu lalu, Muzium Canterbury mengumumkan penemuan seekor burung tiung setinggi satu meter dan hidup kira-kira 19 juta tahun lalu. - AFP

Berita Harian X