Khamis, 4 April 2019 | 12:18pm
Brenton Tarrant ketika dihadapkan ke mahkamah di Christchurch pada 16 Mac lalu. Foto Reuters
Brenton Tarrant ketika dihadapkan ke mahkamah di Christchurch pada 16 Mac lalu. Foto Reuters

Penyerang Christchurch berdepan 50 tuduhan membunuh

CHRISTCHURCH: Seorang lelaki yang menyerang dua masjid di sini, bulan lalu, bakal didakwa atas 50 tuduhan membunuh, apabila dihadapkan ke mahkamah, minggu ini.

Sebelum ini, warga Australia, Brenton Tarrant didakwa atas satu tuduhan membunuh.

Namun, polis mendedahkan angka kematian dan mangsa yang cedera mungkin menyebabkan tuduhan ke atasnya ditambah.

Beliau bakal dihadapkan semula ke mahkamah, esok.

“Lelaki yang ditahan kerana terbabit dalam serangan pengganas di Christchurch, akan berdepan 50 tuduhan membunuh dan 39 tuduhan cubaan membunuh, apabila dihadapkan semula ke Mahkamah Tinggi di Christchurch pada Jumaat,” kata polis dalam satu kenyataan.

Menurut polis, pihaknya juga sedang meneliti tuduhan lain terhadap Tarrant, tetapi tidak menjelaskan dengan terperinci perkara itu.

Tuduhan lain itu mungkin mempunyai kaitan sama ada mahkamah berpendapat ia adalah serangan yang dilancarkan oleh pengganas.

Suspek berusia 28 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah menerusi pautan video di mahkamah Christchurch dari penjara keselamatan maksimum di Auckland.

Sementara itu, mahkamah berkata, Tarrant tidak perlu membuat sebarang pengakuan pada proses pendengaran pertuduhan esok.

Mahkamah juga dilaporkan sudah mengeluarkan arahan melarang pihak media daripada merakam atau mengambil gambar beliau. - AFP

Berita Harian X