Sabtu, 23 March 2019 | 12:50pm
ANGGOTA polis mengawal Masjid Al Noor. - Foto Reuters
ANGGOTA polis mengawal Masjid Al Noor. - Foto Reuters

Umat Islam NZ kembali bersolat di Masjid Al Noor

CHRISTCHURCH, New Zealand: Umat Islam mula bersembahyang di masjid utama di Christchurch hari ini, kali pertama sejak serangan pengganas kulit putih minggu lalu, ketika orang ramai cuba memulihkan keadaan selepas tragedi itu.

Masjid Al Noor berada dalam pengawasan polis sepanjang siasatan dan untuk tujuan keselamatan selepas penyerang, Brenton Tarrant menembak jemaah yang sedang berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac, lalu mengorbankan 50 orang.

Masjid itu diserahkan kembali kepada masyarakat Islam setempat hari ini dan pengurusan masjid mula membenarkan kumpulan kecil berada di perkarangan menjelang tengah hari.

“Kami hanya membenarkan 15 orang pada satu-satu masa, untuk mengembalikan suasana normal,” kata seorang sukarelawan masjid Al Noor, Saiyad Hassan sambil menambah belum ada perancangan untuk membuka sepenuhnya.

Vohra Mohamamd Huzef antara mangsa serangan yang terselamat menjadi antara orang terawal yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan masjid.

Huzef, seorang jurutera awam di Christchurch yang berasal dari India berkata dua daripada rakan sebiliknya terbunuh dan dia terselamat hanya kerana berlindung di sebalik mayat.

“Saya dapat merasa peluru menembusi dan darah yang mengalir keluar daripada tubuh mereka terkena pada saya. Semua orang mahu kes ini dan mengenang kembali. Di sinilah pusat utama komuniti kami,” katanya.

Serangan itu ternyata mengejutkan 4.5 juta rakyat negara yang terkenal dengan kehidupan toleransi dan mencetuskan kebimbangan dunia,susulan rakaman penstriman langsung pembunuhan beramai-ramai itu.

New Zealand sepi seketika pada Jumaat lalu untuk memperingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai, dengan laungan azan berkumandang ke seluruh negara buat kali pertama diikuti dua minit bertafakur. - AFP

Berita Harian X