Sabtu, 7 Julai 2018 | 7:45pm
SEORANG mangsa dirodok tanduk lembu, sementara empat yang lain cedera di festival San Fermin. - Foto EPA
SEORANG mangsa dirodok tanduk lembu, sementara empat yang lain cedera di festival San Fermin. - Foto EPA

4 cedera, seorang dirodok di festival San Fermin

PAMPLONA: Seorang mangsa dirodok tanduk lembu, sementara empat yang lain cedera, hari ini dalam larian lembu tradisi paling disukai warga Sepanyol, festival San Fermin tahun ini di sini.

Acara selama seminggu itu bermula semalam dengan pertunjukan mercun roket tradisi 'chupinazo' di balkoni bangunan majlis perbandaran, ketika pengunjung membanjiri Pamplona di Navarra, kawasan utara bandar itu untuk menyertai acara berusia lebih 700 tahun terbabit.

Namun, larian pertama yang menyaksikan lembu merempuh pelari di kawasan jalan sempit, hanya bermula pagi tadi dan setakat ini, sudah ada lima mangsa cedera, kata pegawai Palang Merah.

Katanya, salah seorang daripada mangsa cedera akibat dirodok tanduk lembu.

Keadaan jalan agak licin disebabkan hujan semalaman dan ada beberapa ekor lembu terpisah daripada kumpulan dan berlari ke arah berlainan.

Semua lembu itu menyelesaikan larian sejauh 848 meter dari lokasi permulaan larian hingga ke arena hanya dalam tempoh tiga minit.

"Apa yang penting adalah untuk tamat larian dengan selamat dan kembali ke sini, esok. Situasi dikejar haiwan seberat 600 kilogram dari belakang dengan ramai orang di jalanan tidak boleh diungkapkan.

"Ia penuh dengan adrenalin dan keseronokan," kata seorang pekerja automobil, Inigo Plaza, 29, yang menyertai larian itu.

Festival itu menyebabkan ramai mangsa cedera setiap tahun. Pada 2017, terdapat lebih 17,000 peserta dan 64 daripada mereka cedera termasuk tujuh mangsa dirodok tanduk lembu.

Sejak 1910, hanya 16 peserta larian itu maut dengan kes kematian terakhir pada 2009. - AFP

Berita Harian X