Selasa, 20 March 2018 | 5:01pm
BANJIR di wilayah Atsinanana, Madagascar. - Foto Reuters
BANJIR di wilayah Atsinanana, Madagascar. - Foto Reuters

20 maut ribut tropika di Madagascar

ANTANANARIVO: Jumlah kematian akibat ribut tropika di Madagascar meningkat kepada 20 orang, manakala lebih 19,000 mangsa lagi dilaporkan terjejas.

Menurut kenyataan pejabat pengurusan bencana alam negara, ribut itu turut memaksa beberapa lebuh raya ditutup kerana dinaiki air.

Jumlah kematian sebelum ini dicatatkan pada 17 orang, manakala 15,000 lagi dilaporkan terjejas.

Ribut Eliakim melanda timur laut Semenanjung Masoala Jumaat lalu, sebelum bergerak ke arah selatan dan tidak lagi dikategorikan sebagai bahaya selepas melepasi Lautan Hindi.

Madagascar yang juga salah sebuah negara termiskin di dunia sering terdedah kepada ancaman taufan dan ribut tropika.

Pada Januari lalu, 51 nyawa terkorban akibat taufan Ava, manakala 78 orang disahkan maut apabila taufan Enawo melanda negara itu Mac tahun lalu. - AFP

Berita Harian X