Sabtu, 18 March 2023 | 11:45pm
Seorang anggota polis anti rusuhan berlari di sebelah api ketika pertempuran dengan penunjuk perasaan susulan tragedi maut kereta api di bandar Larissa, Athens, Greece. - Foto REUTERS
Seorang anggota polis anti rusuhan berlari di sebelah api ketika pertempuran dengan penunjuk perasaan susulan tragedi maut kereta api di bandar Larissa, Athens, Greece. - Foto REUTERS

Greece pecat ketua polis selepas protes tragedi kereta api

ATHENS: Greece memecat ketua polis negara itu, beberapa hari selepas pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan yang tercetus susulan tragedi kereta api paling terburuk.

Pejabat Perdana Menteri berkata, ketua polis Constantinos Skoumas diberhentikan kurang daripada tempoh dua bulan selepas disahkan ke jawatan itu.

Tiada sebab khusus diberikan mengenai pemecatan itu, ketika polis berdepan kritikan awam yang meluas kerana mengendalikan demonstrasi berhubung tragedi 28 Februari, di mana 57 orang terbunuh apabila dua kereta api bertembung.

"Pelantikan ketua polis baharu bertujuan (memperkenalkan) pelaksanaan pelan operasi polis moden yang lebih positif dan cekap mengenai keselamatan rakyat," kata pejabat Perdana Menteri.

Dalam protes terbaharu Khamis lalu, pasukan polis rusuhan dirakam menyerang penunjuk perasaan secara aman di pusat Syntagma Square di Athens.

Sebuah trak tunda polis turut dirakam merempuh sekumpulan penunjuk perasaan yang cuba menghalang jalan Athens dengan tong sampah, menyebabkan seorang penunjuk perasaan rebah ke tanah.

Bencana kereta api itu mencetuskan protes selama berminggu-minggu, menimbulkan tekanan besar kepada kerajaan konservatif Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis menjelang pilihan raya yang dijangkakan pada Mei.

Ketua balai yang bertugas ketika kemalangan dan tiga lagi pegawai kereta api sudah didakwa dan berdepan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup.

Kesatuan kereta api sebelum ini memberi amaran mengenai masalah dengan mendakwa rangkaian itu kekurangan dana, kekurangan kakitangan dan terdedah kepada kemalangan selepas sedekad pemotongan perbelanjaan. - AFP

Berita Harian X