Ahad, 12 March 2023 | 9:05pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI

Mencari asal usul COVID-19 satu kemestian moral - Tedros

GENEVA: Mencari asal usul COVID-19 adalah satu kemestian moral dan semua hipotesis mesti diterokai, tegas Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau memberitahu badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tetap komited mencari punca sebenar di sebalik kemunculan virus berkenaan.

Sebelum ini, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan, sebuah agensi Amerika Syarikat (AS) yang menilai wabak itu, memberitahu ia mungkin disebabkan oleh kebocoran makmal China yang tidak disengajakan.

Ia sekali gus meningkatkan tekanan kepada WHO untuk memberikan reaksi berhubung dapatan itu, bagaimanapun, Beijing menafikan penilaian berkenaan.

"Memahami asal usul #COVID19 dan meneroka semua hipotesis adalah satu perkara yang mustahak dari segi saintifik untuk membantu kami mencegah wabak ini pada masa depan.

"Ini kewajipan moral, demi jutaan orang yang meninggal dunia dan mereka yang hidup dengan #LongCOVID, (gejala COVID-19 yang panjang)," katanya menerusi Twitter.

Kumpulan aktivis, ahli politik dan ahli akademik dalam satu surat terbuka yang ditulis pada hujung minggu ini, berkata tumpuan wajar diberikan kepada mencegah pengagihan tidak adil vaksin COVID-19 daripada berulang.

Kegagalan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 1.3 juta kematian yang boleh dicegah.

Pada 2021, pasukan diketuai WHO menghabiskan masa berminggu-minggu di Wuhan, China dan sekitarnya di mana kes pertama wabak itu membabitkan manusia dilaporkan.

Mereka, dalam laporan bersama, menyatakan bahawa virus itu mungkin tersebar daripada kelawar kepada manusia melalui haiwan lain, namun kajian lanjut diperlukan.

China sebelum ini berkata, tidak ada keperluan untuk melakukan lawatan seumpamanya selepas ini.

Sejak itu, WHO menubuhkan kumpulan penasihat saintifik mengenai patogen berbahaya tetapi ia belum berhasil untuk memberi jawapan bagaimana wabak itu bermula, dengan pertubuhan itu memaklumkan, data penting telah hilang. - REUTERS

Berita Harian X