Selasa, 7 Februari 2023 | 9:03pm
Rakyat Syria mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak pada 7 Februari 2023. - Foto AFP
Rakyat Syria mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak pada 7 Februari 2023. - Foto AFP

Gempa bumi jejas bantuan rentas sempadan ke Syria - PBB

GENEVA: Satu-satunya lintasan sempadan digunakan bagi menghantar bantuan menyelamatkan nyawa dari Turkiye ke Syria, terjejas akibat gempa bumi yang mengorbankan ribuan nyawa di kedua-dua negara itu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter dan gegaran susulannya melanda Turkiye dan Syria awal semalam, mengakibatkan lebih 5,000 orang terbunuh.

"Operasi rentas sempadan terjejas. Ia adalah zon bencana," kata Jurucakap Pejabat untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) agensi di bawah PBB, Jens Laerke kepada pemberita di Geneva.

Sambil itu beliau merayu agar kepentingan politik diketepikan bagi membolehkan bantuan yang amat diperlukan dapat disalurkan.

Agensi bencana berkata, ribuan bangunan musnah akibat gempa yang merentasi kawasan yang dilanda peperangan, pemberontakan, krisis pelarian dan wabak taun baru-baru ini.

Kebimbangan semakin memuncak terutama bagaimana bantuan boleh tiba kepada mereka memerlukan di Syria, yang selama ini musnah akibat perang saudara selama lebih sedekad.

Bantuan kemanusiaan di kawasan yang dikuasai pemberontak biasanya tiba melalui Turkiye, dengan menggunakan mekanisme rentas sempadan yang diwujudkan pada 2014 oleh resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Bagaimanapun, ia dipertikaikan oleh Damsyik dan sekutunya Moscow, yang melihatnya sebagai pencabulan kedaulatan Syria.

Di bawah tekanan Russia dan China, bilangan titik lintasan dikurangkan dari semasa ke semasa daripada empat kepada satu.

Dan kini kawasan lintasan sempadan satu-satunya yang ada mengalami kerosakan infrastruktur ketara, manakala pekerja bantuan di lapangan turut menjadi mangsa bencana.

"Setiap usaha sedang dilakukan untuk mengatasi halangan logistik ini, yang dicetuskan gempa bumi.

"Tujuh hari biasanya jangka masa untuk mangsa yang selamat ditemui," katanya sambil mengatakan adalah 'kritikal' untuk mendapatkan pasukan yang diperlukan mereka dalam kadar yang paling segera.

Katanya, adalah penting bagi semua orang melihatnya sebagai krisis kemanusiaan yang mana nyawa menjadi taruhan.

"Tolong jangan politikkan perkara ini. Mari kita sampaikan bantuan kepada orang yang sangat memerlukannya," katanya. - AFP

Berita Harian X