GENEVA: Sehingga 23 juta orang mungkin terjejas akibat gempa bumi yang mengorbankan ribuan penduduk di Turkiye dan Syria.
Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
"Peta gambaran keseluruhan menunjukkan potensi 23 juta orang terdedah, termasuk sekitar lima juta populasi rentan," kata Pegawai Kecemasan Kanan WHO, Adelheid Marschang kepada jawatankuasa eksekutif agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Infrastruktur awam dan kemungkinan infrastruktur kesihatan telah rosak di seluruh wilayah yang terjejas, terutamanya di Turkiye dan barat laut Syria," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria menahan sejuk beku, gegaran susulan dan bangunan runtuh, ketika mereka mengeluarkan mangsa terselamat yang tertimbus akibat gempa bumi yang mengorbankan lebih 5,000 orang.
"Ketika ini adalah perlumbaan dengan masa," kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menjelaskan bahawa agensi kesihatan PBB itu sedang menghantar bantuan segera ke kawasan terjejas.
"Kami menggerakkan bekalan kecemasan dan kami telah mengaktifkan rangkaian pasukan perubatan kecemasan WHO untuk menyediakan penjagaan kesihatan penting bagi mereka yang cedera dan paling terdedah."
Agensi bencana berkata ribuan bangunan 'diratakan' di bandar merentasi wilayah sempadan Turkiye-Syria yang luas -- menambahkan lagi kesengsaraan di kawasan yang sudah dilanda perang, pemberontakan, krisis pelarian dan wabak taun baru-baru ini.
Sepanjang malam, mangsa yang terselamat menggunakan tangan kosong mereka untuk mengorek runtuhan blok apartmen, cuba menyelamatkan keluarga, rakan dan sesiapa sahaja yang berada di dalam apabila gempa bumi 7.8 magnitud pertama melanda awal Isnin.
Keadaan amat teruk di utara Syria, yang telah musnah akibat peperangan selama bertahun-tahun.
"Pergerakan bantuan melalui sempadan ke barat laut Syria berkemungkinan atau sudah terganggu akibat kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi," kata Marschang.
"Ini dengan sendirinya sudah menjadi krisis besar."
Sementara itu Tedros berikrar agensi itu akan "bekerja rapat dengan semua rakan kongsi untuk menyokong pihak berkuasa di kedua-dua negara dalam masa kritikal dan hari-hari mendatang, dan pada bulan dan tahun akan datang apabila kedua-dua negara pulih dan membina semula." - AFP