Rabu, 25 Januari 2023 | 10:38am
Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

200 remaja pencari suaka hilang di London, termasuk bawah 16 tahun

LONDON: Seramai 200 remaja dan kanak-kanak yang mencari suaka termasuk berusia bawah 16 tahun hilang daripada hotel penginapan sementara di Britain.

Kehilangan itu sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai cara pengendalian kerajaan pimpinan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak terhadap ketibaan pendatang di negara terbabit.

Kerajaan di bawah pentadbiran Sunak berada dalam tekanan selepas dikatakan gagal melindungi sempadan Britain daripada pendatang yang tiba dengan bot kecil.

Sementara ada pihak lain pula mengatakan kerajaan itu tidak melayani mereka yang tiba dengan sewajarnya.

Menteri Imigresen Britain, Robert Jenrick dipanggil ke Parlimen oleh ahli Parti Hijau semalam, bagi menjelaskan laporan media mengenai kehilangan kumpulan remaja dan kanak-kanak itu.

Jenrick berkata, seramai 13 daripada 200 remaja yang hilang itu berusia bawah 16 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan, dengan kira-kira 88 peratus daripada mereka yang hilang tiba dari Albania.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan tanggungjawab melindungi mereka.

"Pergerakan keluar masuk hotel oleh golongan berkenaan terutama di bawah 18 tahun dipantau serta dilaporkan dan mereka diiringi oleh pekerja sosial apabila menghadiri aktiviti yang dianjurkan.

"Kami tidak mempunyai kuasa untuk menahan kanak-kanak yang mencari suaka tanpa ditemani dalam keadaan ini. " kata Jenrick kepada Parlimen.

Bilangan migran yang tiba di England merentasi Selat Inggeris meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu, dengan data kerajaan menunjukkan warga Albania adalah yang tertinggi.

Tahun lalu, kerajaan UK mendapat tekanan pelbagai pihak berkaitan kesesakan di kemudahan di pusat tahanan pendatang, selain menghadapi ancaman tindakan undang-undang daripada kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan pekerja sektor awam.

Ahli Parlimen Parti Hijau, Caroline Lucas mengatakan kumpulan remaja berkenaan berisiko diragut, diculik dan dipaksa melakukan jenayah.

"Ia sangat mengerikan. Mereka seperti dibuang oleh Pejabat Dalam Negeri. Sebilangan besar daripada mereka hilang, justeru kami mahu Pejabat Dalam Negeri mengaplikasikan beberapa perlindungan asas supaya mereka selamat," katanya. - REUTERS.

Berita Harian X