Sabtu, 17 Disember 2022 | 6:50pm
Pasukan bomba Ukraine mengusung keluar mayat seorang wanita yang ditenui di bawah sisa runtuhan bangunan yang musnah selepas serangan Russia memusnahkan bangunan di Kryvyi Rih, Ukraine. - FOTO AP
Pasukan bomba Ukraine mengusung keluar mayat seorang wanita yang ditenui di bawah sisa runtuhan bangunan yang musnah selepas serangan Russia memusnahkan bangunan di Kryvyi Rih, Ukraine. - FOTO AP

Putin bertemu panglima tentera berhubung strategi di Ukraine

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera yang menyelia kempen perang Russia di Ukraine, selepas Moscow meningkatkan pengeboman.

"Semalam, presiden menghabiskan sepanjang hari di kem kakitangan tentera yang terbabit dalam operasi khas ketenteraan di Ukraine," kata satu kenyataan.

Menurut kenyataan sama, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dan Ketua Turus Am, Valery Gerasimov selain mengadakan 'perbincangan berasingan dengan komander' dari cawangan pertahanan yang berbeza.

"Saya ingin mendengar cadangan anda mengenai tindakan kita dalam jangka pendek dan sederhana," kata Putin dalam pertemuan itu, yang dilaporkan oleh televisyen negara Russia.

Russia melancarkan peluru berpandu bertubi-tubi pada semalam ke atas beberapa bandar di Ukraine, sekali gus mengakibatkan rakyat berada dalam kegelapan, kehilangan bekalan air dan haba serta memaksa orang ramai bertahan dalam suhu di bawah sifar.

Selepas beberapa siri kekalahan di medan perang yang memalukan, Russia sejak Oktober sudah meneruskan serangan udara terhadap kemudahan berkaitan tentera, seperti mana didakwa Moscow.

Tentera Ukraine melepaskan tembakan di barisan hadapan dekat Bakhmut, wilayah Donetsk di Ukraine. - Foto AP
Tentera Ukraine melepaskan tembakan di barisan hadapan dekat Bakhmut, wilayah Donetsk di Ukraine. - Foto AP

Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) berkata, penderitaan yang ditimbulkan terhadap kesejukan orang awam itu adalah jenayah perang, malah ketua dasar luar blok itu menggelar pengeboman itu sebagai 'tidak bertamadun'.

Awal pagi tadi, pasukan penyelamat mengeluarkan mayat seorang kanak-kanak daripada sisa runtuhan sebuah bangunan yang musnah dibedil peluru berpandu Russia di bandar Kryvyi Rih di tengah Ukraine.

Gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Valentyn Reznichenko, di mana terletaknya Kryvyi Rih, dalam mesej Telegram berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia satu setengah tahun ditemui di bawah timbunan runtuhan sebuah rumah.

"Secara keseluruhan, empat mangsa terbunuh dalam serangan berkenaan dan 13 cedera termasuk empat kanak-kanak, menurut laporan pihak berkuasa.

"Antaranya termasuk seorang wanita berusia 64 tahun dan sebuah keluarga muda dengan seorang anak kecil," katanya.

Peluru berpandu yang memusnahkan rumah berkenaan adalah antara 16 daripada 76 yang dilancarkan dan berjaya melepasi pertahanan udara Ukraine semalam.

Tambah Reznichenko, serangan Russia turut merosakkan rumah, talian elektrik, dan bandar serta pekan seperti Nikopol, Marhanets dan Chervonohryhorivka, yang terletak di seberang Sungai Dnieper, dekat loji nuklear Zaporizhzhia yang dikuasai Russia. - AGENSI

Berita Harian X