Isnin, 5 Disember 2022 | 9:51pm
Pemimpin Parti Buruh Britain, Keir Starmer, bertepuk tangan sambil diperhatikan anggota Kabinet bayangan parti itu, David Lammy, yang bertanggungjawab sebagai Menteri Luar, ketika konvensyen tahunan Parti Buruh di Liverpool, Britain, pada September 27, 2022. - Foto REUTERS
Pemimpin Parti Buruh Britain, Keir Starmer, bertepuk tangan sambil diperhatikan anggota Kabinet bayangan parti itu, David Lammy, yang bertanggungjawab sebagai Menteri Luar, ketika konvensyen tahunan Parti Buruh di Liverpool, Britain, pada September 27, 2022. - Foto REUTERS

Parti Buruh UK berjanji mansuhkan Dewan Negara

LONDON: Parti Buruh Britain hari ini berikrar akan memansuhkan Dewan Negara sebagai sebahagian daripada rombakan Perlembagaan untuk menjamin pengagihan ekonomi secara saksama selepas Brexit.

Berdasarkan tinjauan, Parti Buruh dijangka mengambil alih kuasa pada pilihan raya akan datang menjelang Januari 2025, sekali gus menggantikan Parti Konservatif yang kini memerintah.

Pemimpin Buruh, Keir Starmer, berjanji akan melakukan 'pemindahan kuasa terbesar yang pernah ada dari Parlimen United Kingdom (UK) di Westminster kepada rakyat British', dengan alasan pengundi pada 2016 memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) kerana kurang kawalan demokrasi.

Strategi reformasi parti itu, yang dirangka oleh bekas perdana menteri, Gordon Brown, membayangkan penurunan kuasa baharu ke wilayah dan negara di UK termasuk Scotland, di mana kerajaan nasionalis mendesak diadakan referendum baharu mengenai kemerdekaan

Brown, yang mengetuai kempen 2014 supaya Soctland kekal dalam UK, mencadangkan penurunan kuasa yang lebih besar, dengan parlimen Edinburgh dimasukkan dalam perjanjian antarabangsa yang membabitkan kawasan Scotland.

Berucap di hadapan penonton di Leeds, utara England, Starmer berkata 'kegagalan pertumbuhan ekonomi sejak 12 tahun lalu' di bawah pemerintahan Konservatif sebahagiannya disebabkan kegagalan UK secara menyeluruh untuk menguasai pertumbuhan dan terlalu bergantung kepada London serta tenggara England.

Pelan tindakan itu belum lagi menjadi dasar Buruh. Ia kini dalam rundingan awam, dengan perubahan yang dipersetujui ditetapkan untuk dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya parti akan datang.

Starmer berkata beliau berharap untuk meneruskan pembaharuan dalam tempoh lima tahun pertama kerajaan Buruh, termasuk penempatan semula 50,000 pekerjaan perkhidmatan awam dari luar London.

Namun, inti pati rancangan 40 perkara itu adalah untuk menghapuskan Dewan Negara atau 'House Of Lords' yang merangkumi campuran lantikan politik, warisan dan Uskup Gereja England.

"Saya rasa Dewan Negara tidak dapat dipertahankan. Sesiapa saja yang melihat Dewan Negara akan berdepan kesukaran untuk mengatakan bahawa ia harus dikekalkan.

"Oleh itu, kami mahu memansuhkan Dewan Negara dan menggantikannya dengan Dewan yang dilantik dan mempunyai misi yang sangat kuat," katanya.

Brown mencadangkan Dewan Perhimpunan baharu terdiri daripada ahli yang diambil dari wilayah dan negara UK - sebuah Dewan yang 'lebih kecil, lebih diwakili dan demokratik', walaupun butiran mengenainya diserahkan kepada hasil rundingan. - AFP

Berita Harian X