Isnin, 5 Disember 2022 | 2:12pm
Cabaran utama ialah presiden Russia, Vladimir Putin kemungkinan akan kebal daripada pendakwaan semasa memegang jawatan. - Foto AP
Cabaran utama ialah presiden Russia, Vladimir Putin kemungkinan akan kebal daripada pendakwaan semasa memegang jawatan. - Foto AP

Tribunal Russia menghadapi halangan besar - pakar

THE HAGUE: Pakar memberi amaran usaha mewujudkan sebuah tribunal bagi menghukum Presiden Russia, Vladimir Putin akibat pencerobohan ke atas Ukraine boleh menjadi satu cabaran yang besar.

Rabu lalu, Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan 'mahkamah khusus' yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendakwa 'jenayah pencerobohan' Russia, sebagai satu langkah paling konkrit setakat ini.

Cadangan itu dianggap akan mengatasi fakta bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh menyiasat jenayah perang di Ukraine, tetapi tidak boleh dalam jenayah pencerobohan 'kepimpinan'

Russia.

Ini kerana mewujudkan mahkamah khas untuk pencerobohan dianggap boleh menimbulkan kebimbangan bahawa ICC yang berpangkalan di Hague boleh terjejas.

Difahamkan, ICC sedang menyiasat jenayah perang dan kemanusiaan di Ukraine walaupun Russia bukan ahli, kerana Kyiv telah menerima bidang kuasanya.

Peraturan khas sebaliknya mengatakan, ICC tidak mempunyai bidang kuasa ke atas pencerobohan dalam kes bukan ahlinya.

Penolong Profesor undang-undang antarabangsa awam di Universiti Leiden, Cecily Rose, berkata akan terdapat banyak halangan pada peringkat undang-undang dan praktikal untuk menjayakan usaha itu.

Beliau berkata, halangan pertama membabitkan penubuhan tribunal sedemikian adalah ia memerlukan sokongan global untuk mendakwa perang yang berlaku di Eropah.

"Mahkamah sedemikian akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas orang yang dituduh iaitu pemimpin peringkat tinggi semasa atau bekas, seperti Putin.

"Melainkan ada perubahan rejim di Russia, Putin dan pemimpin peringkat tinggi yang lain perlu meninggalkan Russia untuk dikenakan tangkapan di negeri lain.

"Sekiranya mereka meninggalkan Russia, negara lain boleh dikatakan wajib menghormati imuniti individu itu," katanya.

Sementara itu, profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Yale, Oona Hathaway, berkata sama ada perkara itu boleh diatasi bergantung kepada kehendak politik mereka yang terbabit yang memerlukan usaha.

Bagaimanapun, sokongan semakin berkembang di seluruh dunia untuk Ukraine apabila 143 negeri mengundi dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Oktober untuk mengecam pendudukan sebahagian Ukraine oleh Russia.

UNGA mungkin akan menjadi satu-satunya jalan untuk menyokong mahkamah yang dicadangkan oleh EU, kerana Russia akan menggunakan kuasa vetonya dalam sebarang pembabitan Majlis Keselamatan PBB.

Walaupun Majlis Keselamatan PBB sebelum ini mengarahkan negara-negara untuk bekerjasama dengan waran tangkap, seperti dalam kes ICC terhadap bekas pemimpin Sudan, Omar al-Bashir, Moscow akan sekali lagi menghalang tindakan sedemikian.

Pembiayaan juga akan menjadi isu, seperti yang telah berlaku untuk banyak mahkamah antarabangsa.

"Akan ada kos yang besar yang terbabit dalam penubuhan mahkamah sedemikian," kata rakan sekutu di Institut Asser untuk undang-undang Eropah yang berpangkalan di Hague, Victoria Kerr.

Sementara itu, Belanda secara sukarela menjadi tuan rumah tribunal Russia. - AFP

Berita Harian X