Isnin, 5 Disember 2022 | 8:13am
Pemilik Twitter Elon Musk mendapat teguran apabila beliau menyuarakan sokongan terhadap syarat keamanan yang ditolak oleh Kyiv. - Foto AP
Pemilik Twitter Elon Musk mendapat teguran apabila beliau menyuarakan sokongan terhadap syarat keamanan yang ditolak oleh Kyiv. - Foto AP

Pembantu presiden Ukraine selar 'penyelesaian mudah ajaib' Musk

KYIV: Seorang pembantu presiden Ukraine terkemuka mengkritik pemilik Twitter, Elon Musk susulan idea 'penyelesaian mudah' yang dianggap tidak masuk akal mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan penyederhanaan kandungan Twitter.

Mykhailo Podolyak mengatakan idea dikemukakan oleh Musk ialah 'menukar wilayah asing untuk keamanan ilusi' dan 'membuka semua akaun peribadi kerana kebebasan bersuara mestilah menyeluruh'.

"Beliau (Elon Musk) lebih suka apa yang dipanggil 'penyelesaian mudah ajaib'," kata Podolyak dalam ciapannya di Twitter, merujuk kepada rancangan kebebasan bersuara yang digambarkan sendiri Musk untuk memperbaharui Twitter, yang diambil alih pada 27 Oktober, serta ciapannya yang menyeru agar Ukraine menyerahkan semenanjung Crimea yang diduduki Russia sebagai pertukaran untuk keamanan.

Bagaimanapun, wakil Twitter enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Ukraine mempunyai hubungan yang rumit dengan Musk, orang terkaya di dunia, sejak permulaan pencerobohan Russia pada 24 Februari.

Musk dipuji pada awal peperangan kerana menyediakan beribu-ribu peranti internet satelit Starlink, yang dihasilkan oleh SpaceX milik Musk ke Ukraine secara percuma, tetapi persahabatan itu mengalami masalah pada Oktober apabila beliau menyuarakan sokongan untuk keadaan damai yang ditolak oleh Kyiv.

Jutawan itu menggesa Crimea, yang ditakluk oleh Moscow pada 2014, diisytiharkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada Russia, dan untuk referendum diselia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sama ada Russia harus kekal atau meninggalkan wilayah lain yang diduduki.

Ciapan itu mendapat reaksi marah daripada pegawai Ukraine, termasuk Podolyak kerana Kyiv berulang kali menolak idea bahawa ia akan menyerahkan tanah untuk keamanan.

Tidak lama selepas pertikaian itu, Musk mengadu secara terbuka mengenai kos menyediakan perkhidmatan Starlink percuma ke Ukraine selama-lamanya.

Beliau Oktober lalu berkata, hanya 10,630 daripada 25,300 Starlink yang dihantar ke Ukraine.

Kyiv turut mengakui bahawa 'beberapa' terminal disediakan secara percuma tetapi tidak memberikan angka yang tepat.

Bagaimanapun, Musk pada 15 Oktober lalu berkata, syarikat itu akan terus menjalankan Starlink percuma untuk Ukraine. - REUTERS

Berita Harian X