Ahad, 4 Disember 2022 | 8:45am
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

Russia tolak penetapan harga siling minyak AS$60 setong

KYIV: Pihak berkuasa Russia menolak penetapan harga siling minyak keluarannya dalam kalangan negara Barat yang menyokong Ukraine dan mengancam untuk berhenti membekalkan bahan mentah itu kepada negara yang mempersetujuinya.

Kelmarin, Australia, Britain, Kanada, Jepun, Amerika Syarikat dan 27 negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menetapkan harga siling AS$60 (RM263) setong ke atas minyak Russia.

Penetapan itu akan berkuat kuasa mulai esok, bersama dengan embargo EU ke atas minyak Russia yang dihantar melalui jalan laut.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Russia perlu melakukan analisis berhubung keadaan itu sebelum membuat keputusan mengenai tindak balas tertentu.

Bagaimanapun, Russia tidak akan menerima penetapan harga siling berkenaan.

Wakil tetap Russia bagi pertubuhan antarabangsa di Vienna, Mikhail Ulyanov, memberi amaran bahawa negara Eropah yang menyokong keputusan itu bakal menyesal.

"Mulai tahun ini, Eropah akan hidup tanpa minyak Russia. Moscow sudah memberi penjelasan tidak akan membekalkan minyak kepada negara yang melaksanakan penetapan harga siling ini.

"Tunggu, tidak lama lagi EU akan menuduh Russia menggunakan minyak sebagai senjata," katanya dalam satu hantaran di Twitter.

Sementara itu, pejabat Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, semalam menggesa penetapan harga siling yang lebih rendah.

Menurutnya, penetapan dibuat oleh EU dan negara G7 tidak sebagaimana diharapkan.

"Wajar untuk menurunkannya kepada AS$30 (RM132) dalam usaha memusnahkan ekonomi musuh dengan lebih cepat," kata ketua pejabat Zelenskyy, Andriy Yermak menerusi Telegram.

Di bawah perjanjian yang dimeterai pada Jumaat lalu, syarikat insurans dan firma lain yang terbabit dalam penghantaran minyak, boleh membekalkan minyak mentah Russia jika harganya mengikut siling ditetapkan atau pada kadar lebih rendah.

Memandangkan kebanyakan syarikat insurans terletak di EU dan United Kingdom, mereka dijangka dikehendaki mematuhi had siling ditetapkan.

Minyak mentah Russia sekarang sememangnya dijual mengikut harga siling AS$60 (RM263) iaitu kadar potongan harga agak tinggi berbanding penanda aras Brent yang ditetapkan pada sekitar AS$85.42 (RM375) setong Jumaat lalu.

Kedutaan Russia di Washington berkeras bahawa minyak Russia 'akan sentiasa mempunyai permintaan' dan mengkritik harga siling itu sebagai 'cubaan merombak asas pasaran terbuka'.

Hantar pada saluran Telegram kedutaan terbabit mengunjurkan bahawa penetapan harga siling bagi setiap tong akan menyebabkan ketidaktentuan bekalan dan peningkatan kos bahan mentah kepada pengguna. - AP

Berita Harian X