Sabtu, 3 Disember 2022 | 6:34pm
Gambar hiasan - REUTERS
Gambar hiasan - REUTERS

Penetapan harga siling: Russia yakin eksport minyak akan terus dapat permintaan

MOSCOW: Russia hari ini menegaskan akan terus berusaha mencari pembeli untuk minyak keluarannya, dan menyifatkan tindakan kerajaan Barat menetapkan harga siling terhadap eksport Moscow itu sebagai 'cubaan berbahaya.'

Semalam, gabungan negara-negara Barat yang diketuai G7, bersetuju menetapkan harga siling AS$60 setong ke atas minyak dieksport Russia melalui laut.

Langkah itu bertujuan mengehadkan pendapatan, sekali gus menyekat kemampuan kewangan Russia untuk membiayai operasinya dalam peperangan di Ukraine.

Presiden Russia, Vladimir Putin, dan pegawai atasan Kremlin sudah berulang kali menyatakan Moscow tidak akan membekalkan minyak kepada negara yang melaksanakan harga siling itu.

Dalam ulasan disiarkan Telegram, Kedutaan Russia di Amerika Syarikat (AS) mengkritik tindakan terbabit yang disifatkannya sebagai 'pembentukan semula' prinsip pasaran bebas.

Malah, ia mengulangi penegasan bahawa minyak keluaran Russia akan terus mendapat permintaan walaupun berdepan pelbagai cabaran sedemikian.

"Langkah seumpama ini pasti akan menyebabkan ketidaktentuan semakin meningkat dan kos lebih tinggi terhadap pengguna bahan mentah.

"Walau apapun tindakan itu dengan penggunaan instrumen yang berbahaya dan tidak sah, kami yakin minyak Russia akan terus mendapat permintaan," katanya.

Penetapan harga siling itu akan membolehkan negara bukan anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk terus mengimport minyak mentah Russia melalui laut.

Namun pada masa sama, akan turut melarang syarikat perkapalan, insurans serta insurans semula untuk mengendalikan kargo minyak mentah Russia di serata dunia, kecuali jika ia dijual lebih murah daripada harga siling itu.

Sementara itu, laporan agensi berita negara ini memetik Kremlin menegaskan bahawa Russia 'tidak akan menerima' penetapan harga siling berkenaan.

TASS melaporkan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Moscow sudah bersiap sedia menghadapi perkara itu dan sedang membuat analisis. - REUTERS

Berita Harian X